CABARAN DAN KESEDIAAN UNTUK MUSIM PENANAMAN
26 APRIL 2024 - KUALA KUBU BAHRU
Satu perjumpaan telah diadakan di tiga kampung berasingan iaitu Kg Meragih, Kg Bukit Udang, dan Kg Gumum bagi membincangkan isu-isu penting berkaitan dengan persiapan musim penanaman akan datang.Antara isu-isu yang dibincangkan adalah seperti persediaan musim penanaman, jenis tanaman yang sesuai, serta langkah-langkah pencegahan terhadap serangan haiwan perosak. Perjumpaan tersebut juga mendapat sokongan yang kukuh terhadap idea penubuhan koperasi di kalangan peserta projek. Semua yang hadir bersetuju bahawa penubuhan koperasi adalah langkah yang bijak untuk meningkatkan keberkesanan dalam sektor pertanian tempatan.
Bagaimanapun, cabaran terbesar yang dihadapi oleh peserta projek adalah kelewatan dalam memulakan penanaman disebabkan masalah penyambungan elektrik yang belum diselesaikan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dari empat tapak yang dilawati, hanya satu tapak yang telah memulakan penanaman, manakala tiga tapak lain masih terbuntu atas masalah ini. Menurut En. Nordee dari Kg Bukit Udang, kebun beliau telah memulakan persediaan tapak tanah untuk penanaman dengan susunan polibeg, paip, serta pelapik tanah. Sementara itu, kebun milik En. Arman sedang menghadapi cabaran dalam penggantian polibeg yang rosak dan masalah tekanan air yang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, para peserta berharap proses tersebut akan selesai pada penghujung Mei 2024.
Pemilik kebun dihadapkan dengan keperluan yang mendesak untuk memperbaiki jalan masuk ke tapak mereka sebagai syarat untuk mendapatkan penyambungan elektrik dari TNB. Kehadiran TNB dijangka akan membantu menyelesaikan masalah ini, namun tambahan dana sebanyak RM10,000.00 diperlukan untuk pembaikan jalan. Walaupun dengan adanya pelbagai cabaran, semangat peserta projek dalam meneruskan usaha pertanian tetap tidak terpadam. malah mempunyai semangat untuk terus maju dalam bidang ini demi kemajuan negara dalam sektor pertanian.
Foto disediakan oleh Yusmin Jaffar