Bagai Sirih Pulang ke Gagang 20 alumni staf UMPSA kembali ke kampus jayakan Program ALAM@UMPSA 2025
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini dikunjungi seramai 20 alumni staf UMPSA yang terdiri daripada mantan Naib Canselor, Pendaftar, Timbalan Naib Canselor, dekan, Pengarah-pengarah dan staf pengurusan serta pentadbiran yang pernah menyumbang bakti di universiti ini.
Mereka yang hadir , Naib Canselor UMPSA ketiga , Prof Emeritus Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor UMPSA kelima, Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin , Timbalan Rektor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) pertama, Profesor Emeritus Dato Ts Dr Mortaza Mohamed , mantan Pendaftar, Dato' Hj Saudi Hj Ahmad yang berkhidmat pada tahun 2005-2007, Datin Sri Fazia Ali serta lain-lain yang dirai.
Hadir menyambut alumni, Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias .
Beliau merasa begitu terharu dan bersyukur kerana dapat berpeluang bertemu muka dengan insan-insan yang telah banyak berjasa kepada universiti ini.
“Tanpa pengorbanan, dedikasi dan sumbangan yang diberikan, mustahil universiti ini dapat berdiri teguh seperti hari ini. Malahan setiap masa yang anda luangkan, setiap tenaga yang dikorbankan dan setiap idea yang anda sumbangkan, telah meninggalkan kesan dalam pembangunan universiti ini.
“Anda bukan sekadar bekas staf dan pesara,
tetapi anda adalah legasi hidup yang terus menginspirasi kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, aktiviti penghijauan Rimba Komuniti pada hari ini melibatkan 60 batang anak pokok hutan pelbagai jenis yang telah dikenal pasti sesuai dengan persekitaran dan tanah di sini.
Antaranya anak pokok jenis Meranti Tembaga, Keruing Kertas, Balau Pasir, Keladan, Merbau, Cengal, Kulim serta anak pokok Petai di tapak RIMBA KOMUNITI yang berkeluasan 6.7 ekar ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahari Ahmad Bakarim.
Program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan menghubung semula pesara dan bekas staf dengan UMPSA di samping mengeratkan hubungan selain meraikan sempena Ulang Tahun ke-23 UMPSA.
Selain daripada itu, program yang laksanakan ini adalah usaha berterusan Inisiatif Penghijauan Kampus UMPSA dalam menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang telah bermula pada tahun 2021-2025 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah di Malaysia dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok selain memenuhi objektif SDG 13 dan SDG15 iaitu isu berkaitan Climate Action dan Life on Land.
Dalam acara ini juga, peserta turut dibawa melawat sekitar Kampus Pekan dan diberi penerangan berkenaan perkembangan semasa pembangunan Kampus Pekan. Antara lokasi yang dilawati adalah Rimba Lestari, Sistem Panel Solar dan Masjid UMPSA.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Canseleri, Jabatan Pendaftar dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta ini telah berjaya mencipta kenangan bersama yang akan menjadi ingatan manis yang mengukuhkan lagi keakraban semua sesuai dengan tema program “Satu Pokok Seribu Kenangan”.
