LAWATAN PENANDA ARAS KE BAHAGIAN JARINGAN INDUSTRI & MASYARAKAT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (BJIM USM)
Pusat Hubungan Komuniti (PHK), Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mempelajari pelaksanaan program/projek industri dan komuniti berimpak tinggi yang dijalankan oleh USM serta menjalin potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan projek, pendekatan penglibatan industri dan komuniti, serta penilaian impak yang telah dicapai hasil pelaksanaan program oleh USM. Turut dibincangkan adalah cabaran utama yang dihadapi serta strategi penyelesaian yang boleh dijadikan rujukan untuk pelaksanaan program komuniti di UMPSA.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris, Pengarah Pusat Hubungan Komuniti.
Sesi libat urus telah dipengerusikan oleh Ts. Dr. Wan Maryam binti Wan Ahmad Kamil, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, yang telah berkongsi amalan terbaik dalam pengoperasian program industri dan komuniti serta peranan strategik universiti dalam memperkasa hubungan industri dan masyarakat bukan sahaja di Pulau Pinang malah di seluruh Malaysia secara mampan.
Lawatan ini dijangka dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara UMPSA dan USM serta memberi inspirasi kepada UMPSA untuk merancang program industri dan komuniti yang lebih holistik, lestari dan berimpak tinggi kepada industri dan masyarakat.
