MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI BERSAMA AHLI PARLIMEN CAMERON DAN AGENSI-AGENSI BERKAITAN
Pusat Hubungan Komuniti (PHK) Jabatan Penyelidikan Inovasi UMPSA telah melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Dr. Ramli bin Mohd Nor yang merupakan ahli parlimen Cameron Highlands.
Berlangsung sama semasa kunjungan hormat ini adalah mesyuarat penyelarasan program Kampung Angkat Madani di Kampung Orang Asli (KOA) Chenan Cherah (Telip), Pos Telanok, Cameron Highlands bersama agensi-agensi berkaitan yang telah dihadiri wakil Kementerian Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha. Kunjungan ini turut dihadiri oleh Pengarah PHK, Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris, dan pegawai PHK iaitu En. Yusmin bin Jaffar dan Puan Rozana binti Sahadan.
Dalam sesi perbincangan ini, YB Dato’ Dr. Ramli telah dimaklumkan tentang status kemajuan projek serta perancangan yang bakal dilakukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam projek Kampung Angkat Madani. KOA Chenan Cherah (Telip), Pos Telanok, Cameron Highlands telah terpilih sebagai salah satu kampung yang menerima peruntukan RM1 juta ringgit daripada kerajaan bagi membangunkan infrastruktur asas kemudahan di kampung agar tidak ketinggalan berbanding dengan KOA lain.
UMPSA telah diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani di KOA Chenan Cherah (Telip) di mana UMPSA akan membantu menaiktaraf jalan masuk ke kampung, pemasangan akses internet di kawasan kampung dan menyediakan latihan TVET yang bersesuaian untuk penduduk kampung.
