UMPSA Anjur Round Table Discussion Perkasa Pendidikan Negeri Pahang
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Round Table Discussion (RTD) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bertempat di Ancasa Royale Hotel, Pekan, hari ini.
Program ini menghimpunkan wakil JPN, PPD, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik bagi memperkukuh kolaborasi dalam bidang pendidikan, khususnya melibatkan pembangunan bakat, penguasaan STEM serta pemerkasaan TVET.
Majlis dimulakan dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Binti Mustapha, diikuti ucaptama Pengarah JPN Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa.
Taklimat mengenai peranan UMPSA dalam memperkukuh hubungan komuniti turut disampaikan oleh Pengarah Pusat Hubungan Komuniti UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris.
Sepanjang sesi, peserta RTD meneliti lapan fokus utama UMPSA dalam bidang pendidikan, antaranya pembangunan Pusat TVET Termaju, Pendidikan STEM, Pusat Sains Matematik, Kecerdasan Buatan (AI), Bahasa Inggeris, Pusat Fleksibel (e-Learning), Pusat Inklusif (OKU) dan Pahang Talentlympics. UMPSA turut membentangkan Showcase Expertise melibatkan 11 penyelidik universiti dalam pelbagai bidang kepakaran.
Profesor Ts. Dr. Aida menegaskan bahawa pendidikan bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.
UMPSA komited menjadi rakan strategik utama dalam membina generasi berdaya saing melalui inovasi, pemindahan ilmu dan program komuniti.
Beliau turut memperkenalkan Geran Inovasi Sosial UMPSA sebagai inisiatif untuk memastikan hasil penyelidikan universiti dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.
Sokongan endowmen daripada industri dan NGO turut dialu-alukan bagi menggerakkan lebih banyak program pembangunan komuniti.
Majlis diakhiri dengan sesi perbincangan meja bulat, pembentangan rumusan serta sesi bergambar bersama semua peserta.
Foto oleh Khairu Aidilnishah Rizan
