ICoN's  Official Website    

UMPSA DAN SK CHEROK PALOH RANCANG TRANSFORMASI SEKOLAH KURANG MURID MELALUI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

UMPSA DAN SK CHEROK PALOH RANCANG TRANSFORMASI SEKOLAH KURANG MURID MELALUI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

Lawatan rasmi ke Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh (SKECH) telah diadakan bagi membincangkan pelaksanaan inisiatif Sekolah Angkat Madani (SAM), dengan tumpuan utama kepada pembangunan murid melalui integrasi teknologi digital dan pemerkasaan pendidikan STEM.
 
Perbincangan yang berlangsung di SKECH dihadiri oleh Guru Besar, Encik Borhanuddin, bersama Encik Rashid (Guru Penolong Kanan 1) serta Pengarah dan pegawai dari Pusat Hubungan Komuniti, UMPSA.
 
Menurut maklumat yang dikongsi, SKECH kini mempunyai seramai 158 orang murid dan 16 orang guru, dengan dianggarkan 80% daripada murid terdiri daripada latar belakang keluarga B40. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), dan pihak pentadbiran sekolah menyatakan hasrat untuk keluar daripada status tersebut. Berdasarkan ketetapan semasa, sekolah hanya boleh dikeluarkan daripada status SKM sekiranya jumlah murid melebihi 150 orang selama tiga tahun berturut-turut.
 
Guru Besar menekankan bahawa fokus utama penggunaan peruntukan harus disalurkan kepada pembangunan holistik murid, terutamanya melalui peningkatan penggunaan teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta pelaksanaan aktiviti berteraskan STEM.
 
Tambah beliau, SKECH belum pernah menyertai sebarang pertandingan STEM akibat kekangan kepakaran dan ketiadaan asas pembangunan STEM dalam kalangan murid. Justeru, beliau berharap agar inisiatif Sekolah Angkat Madani ini dapat mewujudkan elemen “wow factor” dalam kalangan murid dan penjaga, seterusnya menjadikan SKECH sebagai pilihan utama bagi pendidikan anak-anak di kawasan Cherok Paloh dan sekitarnya. Malah, pihak sekolah meletakkan aspirasi untuk membawa murid ke pertandingan STEM di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
 
Lawatan ini menandakan langkah awal ke arah menjadikan SKECH sebagai model sekolah luar bandar berimpak tinggi yang menepati aspirasi Malaysia MADANI.
Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link