Kunjungan dan Lawatan kerja Naib Canselor UMP ke Malaysia Automotive Robotics And IOT Institute (MARii)
Cyberjaya, 3 Mac - Satu kunjungan hormat dan lawatan kerja ke Malaysia Automotive Robotics and IOT Institute (MARii) oleh Naib Canselor, YH Prof. Dato Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin telah diadakan pada 3 Mac 2022 bertempat di Ibu Pejabat MARii, Cyberjaya.
Delegasi lawatan dan kunjungan ini yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi , Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Penolong Naib Canselor Jabatan Kolaborasi Industri & Masyarakat (JKIM) Prof. Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Prof Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan telah disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif MARii , Dato’ Ts. Madani Sahari dan kumpulan pengurusan MARii.
Sesi perbincangan yang berlangsung hampir 2 jam meliputi cadangan kerjasama dalam latihan, kepakaran dan pembangunan penyelidikan teknologi robotik, pembelajaran secara berterusan , penempatan dan pembangunan kerjaya, khidmat komuniti dan sosial serta peluang-peluang kerjasama yang melibatkan pemegang taruh dalam industri yang berkaitan.
Selain itu, delegasi UMP juga dibawa meninjau "green environment work space", makmal-makmal serta prototaip hasil penyelidikan yang dilakukan di MARii yang boleh digunakan untuk manfaat bersama.
Sesi kunjungan pertama ini adalah merupakan titik tolak kepada penerokaan dalam bidang teknologi robotik dan lain-lain bidang yang berkaitan ke arah pemerkasaan teknologi IR 4.0 di antara kedua-dua belah pihak.