MAJLIS APRESIASI PESERTA BERSAMA TERAJU & PELUNCURAN KUTIP BERJAYA DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA

MAJLIS APRESIASI PESERTA BERSAMA TERAJU & PELUNCURAN KUTIP BERJAYA DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA

26 JUN 2024 - PERPUSTAKAAN , UMPSA
Majlis Apresiasi Peserta Bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Peluncuran Koperasi Usahawan Tani IoT Pahang Berhad (KUTIP) telah berlangsung dengan p di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada hari ini. Majlis dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Bin Zainuddin, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Teknologis Dr. Aida Binti Mustapha, Ketua Pustakawan Cik Kamariah Binti Gono, dan Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Datin Teknologis. Dr. Mimi Sakinah Binti Abdul Munaim. Turut hadir Pengarah Bersekutu Bahagian Penyampaian Strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Tuan Haji Aizat bin Ponirin, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pahang, Puan Syahirah Mohamad, Ketua-ketua projek IOT Based Smart Farming System serta peserta yang terlibat dalam program Teraju ini.
 
Majlis Apresiasi & Pelancaran Koperasi Usahawan Tani IoT Pahang Berhad (KUTIP) telah disaksikan oleh barisan tetamu kehormat . Dalam ucapan Naib Canselor, beliau menyatakan, "Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada hari ini. Kehadiran anda semua mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi IoT. Penubuhan KUTIP ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pembangunan sosial dan komuniti dengan menyokong usaha kerjasama dan pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan sosial tempatan." Antara objektif daripada Program IoT Based Smart Farming System adalah unutk meningkatkan produktiviti pertanian melalui penggunaan teknologi IoT dalam sistem pertanian pintar, memperkasakan ekonomi komuniti dengan menubuhkan KUTIP sebagai platform kepada petani untuk menguruskan hasil tani mereka dengan lebih efektif dan berdaya saing. Serta dapat membantu para petani dalam mengoptimumkan pengeluaran dan memasarkan produk mereka secara lebih efisien.
 
Pelbagai anugerah telah disampaikan kepada peserta program yang cemerlang, termasuk Anugerah Petani Cekal, Anugerah Produktiviti Terbaik, Anugerah Inovasi Pertanian, dan Anugerah Ikon Lestari. Puan R. Rosnizan Ibrahim menerima Anugerah Petani Cekal atas usaha gigihnya sebagai ibu tunggal yang konsisten mengusahakan projek ini. Anugerah Produktiviti Terbaik diberikan kepada Puan Siti Aishah Mat Husaind dan En. Abdul Rahman Bin Mohd. Salim yang mencapai nilai jualan bersih melebihi RM30,000. En. Mohd Firdaus Bin Abd Fatah menerima Anugerah Inovasi Pertanian atas kejayaannya memformulasi racun serangga organik dan baja bio-organik. Anugerah Ikon Lestari pula diraih oleh En. Shamsudin Bin Abd Hamid, En. Zakaria Bin Mat Napi, dan En. Abdul Ghaib Bin Md Toha.
 
Puan Ashykin, selaku ketua program IoT Smart Farming System, dalam ucapannya berkata, "KUTIP merupakan inisiatif bersama oleh UMPSA di mana matlamat utama penubuhan koperasi ini adalah untuk menyediakan para peserta projek ini ke arah pengurusan hasil tani yang lebih efektif melalui satu entiti koperasi yang lebih terancang dan mampan sejurus selepas program DPUB ini tamat. Ini adalah usaha yang ingin direalisasikan oleh UMPSA setelah memberikan bimbingan dan sokongan secara berterusan kepada para peserta sepanjang projek ini berlangsung."Pengarah Bersekutu TERAJU, Tuan Haji Aizat Bin Ponirin, juga menekankan pentingnya inovasi dan kerjasama dalam memajukan sektor pertanian berteknologi tinggi. UMPSA dan TERAJU berharap agar majlis ini dapat menyuntik semangat para peserta untuk memanfaatkan projek dan koperasi sebagai batu loncatan ke arah peningkatan sosio-ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang.

Print   Email