Previous Next

UMP jalin kerjasama antarabangsa dengan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University (AMU)

Turki, 7 Julai 2022- Jalinan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University ( AMU) bakal memperkukuh bidang
akademik dan penyelidikan yang bakal membuka ruang ke arah peningkatan hubungan melibatkan institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan negara Turki.
Kerjasama ini memfokuskan program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran dan kerjasama yang turut melibatkan kempen kesedaran berkaitan literasi media dan informasi UNESCO bersama komuniti di Ankara untuk dimanfaatkan semua pihak.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin hari ini bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Rektor Ankara Medipol University ( AMU) , Prof Ahmet Zeki Sengil dengan disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang berlangsung di Ankara Turkiye.
Turut sama hadir Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Timbalan Rektor AMU, Prof Dr Nevin Sanlier.
Menurut Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie, pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan kerjasama ini juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pertukaran staf dan pelajar.
Program turut membabitkan kerjasama dual ijazah serta melibatkan program mempromosikan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Print   Email