UMPSA PERKUKUH JALINAN STRATEGIK BERSAMA 33 RAKAN INDUSTRI DAN KOMUNITI
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategiknya apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan 33 rakan kerjasama dari pelbagai sektor yang berlangsung di Dewan Bankuet, UMPSA Kampus Pekan.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya berkata program sebegini perlu diimarahkan lagi dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan akademia dan industri. Pelbagai input yang diperolehi ini merupakan usaha untuk bergerak bersama antara universiti dengan rakan kerjasama.
Kita tidak menafikan bahawa hubungan akademia dan industri sangat penting dan saling memerlukan sama ada dalam pengalaman dan kepakaran serta memerlukan satu sama lain.
“Sebagai sebuah universiti yang berfokuskan program kejuruteraan dan teknologi, saya percaya mana-mana industri memerlukan kepakaran ini dalam menyelesaikan permasalahan industri dan komuniti secara mampan.
Tambahnya lagi, dalam tempoh dua tahun sejak 2022, UMPSA mencatatkan pencapaian cemerlang dengan perolehan geran industri berjumlah RM7.87 juta yang melibatkan 118 industri tempatan dan antarabangsa.
Beliau turut berkongsi inisiatif, pada masa akan datang, universiti ingin memperkasakan hubungan akademia dan industri dalam pelbagai program contohnya seperti khususnya dalam bidang penyelidikan, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), penempatan latihan industri, pembangunan bakat dan peluang kerjaya.
Ujarnya, Inisiatif ini bukan hanya kepada pelajar malahan kepada staf dengan harapan mereka akan pulang ke UMPSA dengan membuat penambahbaikan.
“Saya berharap dengan gabungan kedua-dua pihak ini antara akademia dan industri dapat berkongsi kepakaran masing-masing dapat memberi manfaat kepada semua termasuk komuniti,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan program Powerhouse Talk – CEO@Faculty yang menampilkan Encik Lee Heng Yee, Pengarah Eksekutif B-Crobes Group of Companies yang juga CEO@Faculty, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, yang berkongsi ilmu dengan tajuk AI as a Catalyst for Healthcare Evolution.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Penolong Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan & inovasi (Industri & Masyarakat, Prof. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Pengarah Pusat Hubungan Industri, Prof. Ir. Dr. Chin Sim Yee dan pegawai-pegawai Kanan UMPSA.
Hadir daripada industri antaranya Prasarana Malaysia Berhad, Wilhelmina Energy Malaysia Sdn. Bhd, Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd, Aqina Agricultural & Biotech Industries Sdn. Bhd, Hertford System Sdn Bhd, Persatuan Orang Buta Malaysia, Koperasi Bersama Johor Berhad, Iaq Facility Services Sdn.Bhd dan B-Crobes Laboratory Sdn Bhd.
