KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI UMPSA-SK CHEROK PALOH 2025: ZAHIR KOMITMEN IHSAN BINA NEGARA, MELANGKAUI PROGRAM CSR
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini melancarkan Karnival Sekolah Angkat MADANI UMPSA – SK Cherok Paloh 2025 di Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh (SKeCH), Kuantan. Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Utama SK Cherok Paloh itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha.
Program ini merupakan inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan dengan melantik UMPSA sebagai agensi pelaksana. Dengan peruntukan sebanyak RM100,000, inisiatif Sekolah Angkat MADANI ini digerakkan bagi memperkukuh pendekatan holistik dalam usaha merapatkan jurang pendidikan, khususnya untuk sekolah luar bandar.
Dalam ucapannya, Profesor Ts. Dr. Aida Binti Mustapha menyatakan pendidikan anak-anak di bangku sekolah bukanlah tanggungjawab ekslusif Kementerian Pendidikan tetapi amanah yang harus dipikul semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal. Melalui program SAM, nilai “civic virtue” setiap individu terlibat dapat dicambah dan diperkukuh melalui rasa tanggungjawab bersama, semangat kebersamaan dan kepedulian sosial yang menjadi asas penting dalam membina negara yang berdaya saing.
Peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Kementerian Kewangan, ditambah dengan dana tambahan RM20,000 daripada UMPSA, telah memberi tumpuan kepada pelaksanaan transformasi digital, penambahbaikan fasiliti pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), pembangunan modal insan, serta pembaikan infrastruktur fizikal sekolah yang uzur. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, pihak sekolah turut menerima kelengkapan pembelajaran moden termasuk Google TV untuk Bilik Sains dan Smart Board bagi Makmal ICT SKeCH,” ujar Profesor Ts. Dr. Aida.
“Dana ini turut merangkumi pelaksanaan Program Pembangunan Bakat Tenaga Pengajar SKeCH dan penubuhan Kelab STEM SKeCH, bagi memastikan guru serta pelajar menerima pendedahan dan latihan terkini dalam bidang STEM. Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk melahirkan generasi celik sains dan teknologi sejak di bangku sekolah rendah,” jelas beliau lagi.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Tuan Haji Shaiful-Azizi bin Mohd Kassim, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, serta Encik Muhammad Faizal bin Sidek, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang.
Sementara itu, Guru Besar SK Cherok Paloh, Encik Borhanuddin bin Aziz, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada UMPSA. Beliau optimis bahawa sumbangan besar ini akan melonjakkan prestasi akademik dan kokurikulum sekolah.
“Dengan kelengkapan baharu seperti peralatan Pusat Sumber dan Makmal Komputer, serta kelengkapan untuk Wartawan Cilik SKeCH dan Unit Beruniform, kami yakin persekitaran pembelajaran akan menjadi lebih kondusif dan menyeronokkan, sekali gus meningkatkan motivasi warga sekolah,” ujar Encik Borhanuddin.
Antara aktiviti menarik sepanjang Karnival Sekolah Angkat Madani UMPSA – SKeCH 2025 yang berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober 2025 termasuklah kempen kelestarian alam, Jelajah Sains dan Digital UMPSA-Exploria, lawatan ke makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif UMPSA Pekan, lawatan industri ke kilang Mercedes-Benz Pekan, pameran kenderaan elektrik serta pertandingan soccerbot dan sumobot.
Program ini turut mendapat sokongan erat daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, di samping melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi dan industri seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Exploria, Hong Leong Islamic Bank, Mercedes-Benz Malaysia, Noble Cars Kuantan serta Koperasi Usahawan Tani IoT Pahang (KUTIP) Berhad.
Model jalinan kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan industri ini akan terus diperkasakan oleh UMPSA dalam pelbagai program CSR yang akan datang. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberi impak tinggi dan tidak sekadar bersifat CSR semata-mata.
