MURID DAN GURU SK CHEROK PALOH TERUJA LAWAT MAKMAL BERTEKNOLOGI TINGGI UMPSA DAN KILANG PEMASANGAN KERETA BERTARAF DUNIA
29 September 2025 | Pekan
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan lawatan sambil belajar sempena Karnival Sekolah Angkat MADANI 2025, melibatkan murid dan guru Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh (SKeCH) ke kampus UMPSA Pekan serta kilang pengeluaran kereta Mercedes-Benz Pekan. Program ini dianjurkan melalui inisiatif Sekolah Angkat MADANI, bertujuan memperkasa pendidikan holistik dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang kejuruteraan, teknologi dan industri automotif, di samping menyemai minat mereka terhadap kerjaya masa hadapan dalam bidang sains, teknologi atau kejuruteraan.
Di UMPSA Pekan, para peserta berpeluang melawat Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA). Antara fasiliti yang dilawati ialah Makmal Pendawaian, Makmal Mini Plant, Makmal LV & EV, Makmal Automasi Industri, Makers Lab serta Makmal Kenderaan Elektrik. Lawatan ini membolehkan murid dan guru menyaksikan sendiri secara dekat penggunaan peralatan moden dan teknologi terkini dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
Rombongan turut dibawa ke kilang Mercedes-Benz Pekan, di mana mereka berpeluang meninjau secara langsung proses pengeluaran kenderaan bertaraf antarabangsa. Pengalaman ini bukan sahaja memperluas pengetahuan murid dalam memahami proses industri automotif, malah diharap dapat menyemai minat untuk memilih laluan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan, sekali gus menyokong pembangunan modal insan negara serta aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara maju dan berteknologi termaju.
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan, dengan sokongan erat daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. Inisiatif ini menampilkan model jalinan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan industri yang seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI. UMPSA akan terus memperkukuh model kerjasama ini melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi pada masa hadapan, dengan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti dan tidak hanya bersifat CSR semata-mata.
