Projek Fertigasi UNIMADANI 2024 Catat Peningkatan Prestasi, Tuaian Cecah RM8,000
Projek Fertigasi Menjana Ekonomi yang dilaksanakan di Madrasah Darul Uloom, Sungai Salan, Jerantut di bawah inisiatif UNIMADANI 2024 terus mencatat pencapaian positif apabila berjaya menghasilkan hampir 4 tan tuaian timun dengan nilai pendapatan mencecah RM8,000 dalam tempoh tujuh hari.
Projek ini merupakan antara empat projek UNIMADANI yang diluluskan pada tahun 2024. Permohonan awal berjumlah RM70,000 telah berjaya dikembangkan kepada RM200,000 hasil usaha Ketua Projek, Encik Yusmin bin Jaffar, yang menerima sokongan tambahan daripada Kementerian Kewangan (MOF). Peningkatan peruntukan ini membolehkan skala projek diperluas daripada 1,000 kepada 3,000 polibeg tanaman.
Geran projek ini kini berada dalam tempoh lanjutan selama enam bulan dan dijadual tamat pada 30 Jun 2025. Ia kini memasuki musim kedua penanaman dengan hasil yang jauh lebih memberangsangkan berbanding musim terdahulu. Pada musim pertama, hasil tuaian hanya berjumlah RM4,000 dalam tempoh 14 hari susulan kekangan tenaga kerja apabila pelajar yang terlibat dihantar mengikuti program di perkampungan Orang Asli sebagai sebahagian daripada kurikulum semasa bulan Ramadan.
Majlis lawatan ke tapak projek turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias. Turut hadir, Pegawai FAMA Daerah Jerantut, Encik Muhammad Hafdi Bin Mustafa, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha, yang juga menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Kejayaan projek ini memperlihatkan keupayaan program fertigasi bukan sahaja dalam menyokong agenda ekonomi sosial institusi pendidikan, malah turut memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program UNIMADANI sebagai inisiatif berimpak tinggi yang menyeluruh.
Foto oleh Khairu Aidilnishah Rizan
