UMPSA Pamer ResQ Solar Emergency Power Station di Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan peranan sebagai institusi yang menyokong usaha inovatif tenaga hijau dengan memperkenalkan ResQ Solar Emergency Power Station sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 di Padang FA Jerantut, Pahang.
Produk ini merupakan hasil ciptaan melibatkan Jurutera Kanan, Ts. Hj Mohd Nurakla bin Mohd Azlan dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Profesor Madya Ts.Dr. Amir bin Abdul Razak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), serta Prof. Madya Dr. Abdul Syukor bin Abd Razak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).
Inisiatif teknologi solar ini disediakan khas agar ia menjadi sistem mudah alih, boleh digunakan serta-merta tanpa pemasangan rumit dan menjadikan ia pilihan ideal untuk kegunaan pihak berkuasa kecemasan, pasukan penyelamat dan komuniti di kawasan berisiko bencana.
Menurut Ts. Hj Mohd Nurakla, ResQ Solar Emergency Power Station merupakan satu peranti bekalan elektrik alternatif yang berasaskan tenaga solar, direka untuk menggantikan generator konvensional terutamanya dalam situasi kecemasan atau gangguan bekalan elektrik.
“Dengan teknologi plug-and-play, sistem hibrid solar-bateri dan kawalan pintar, peranti ini membolehkan pelbagai peralatan penting termasuk pencahayaan LED dan alat perubatan asas bagi mendapat bekalan tenaga dengan cepat dan selamat,” katanya.
Selain itu, reka bentuk tahan lasak serta operasi tanpa bunyi dan pelepasan karbon menjadikan inovasi UMPSA ini bukan sekadar responsif kepada krisis, tetapi juga menyokong agenda kelestarian nasional melalui ESG dan SDG.
UMPSA turut berperanan dalam memastikan amalan kelestarian diterapkan dengan pelbagai projek tenaga hijau seperti solar terapung dan pemasangan solar di bunbung universiti.
Pameran ini menjadi sebahagian daripada inisiatif Bulan Kesiapsiagaan Nasional bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peri pentingnya kesiapsiagaan bencana dan peranan teknologi hijau dalam memperkukuh tindak balas semasa kecemasan.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang BKN 2025 termasuklah pameran aset logistik dan jentera pengurusan bencana.
