ICoN's  Official Website    

PROGRAM VOLUNTOURISM: KONSERVASI PENYU CHERATING

PROGRAM VOLUNTOURISM: KONSERVASI PENYU CHERATING

Sempena sambutan Hari Alam Sekitar, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited memperkasakan pendidikan alam sekitar berasaskan pembelajaran berpengalaman (experiential learning) melalui pendekatan voluntourism.
 
Pada 25 Oktober 2025, seramai lebih 100 orang sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar UMPSA, guru dan pelajar sekolah, serta orang awam telah menyertai Program Voluntourism: Konservasi Penyu Cherating yang berlangsung di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating.
 
Program ini merupakan hasil kolaborasi erat antara UMPSA, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Pahang, dan Pejabat Perikanan Negeri Pahang (DOF) dalam usaha memupuk kesedaran awam terhadap kelestarian biodiversiti marin serta memperkukuh inisiatif pemuliharaan penyu di Malaysia.
 
Program ini turut dihadiri oleh tiga tetamu kehormat, iaitu En. Mohamad Anuar bin Roslan (Pegawai Perikanan Kuantan), Tuan Mohd Fharid bin Saidu (Pengarah Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang), dan Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris (Pengarah Pusat Hubungan Komuniti UMPSA). Dalam ucapan pembukaan, Tuan Mohd Fharid menekankan kepentingan menjaga warisan alam semula jadi sebagai tanggungjawab bersama demi kelestarian generasi akan datang. Dr. Daing Mohamad Nafiz pula merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, manakala En. Mohamad Anuar berkongsi penerangan dan fakta menarik mengenai spesis penyu serta usaha pemuliharaannya di Malaysia.
 
Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti aktiviti seperti Konservasi Penyu Demi Generasi Akan Datang, Post-Mortem Sarang Penyu, dan acara kemuncak Pelepasan Anak Penyu ke Laut yang penuh simbolik terhadap usaha melindungi spesies ini.
 
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating kini sedang ditutup sementara bagi tujuan renovasi dan penambahbaikan fasiliti, dan dijangka dibuka semula kepada orang awam pada awal tahun 2026 dengan wajah baharu yang lebih interaktif dan kondusif untuk pembelajaran alam sekitar.
 
Terima kasih diucapkan kepada MOTAC Negeri Pahang, DOF Pahang, dan semua sukarelawan UMPSA atas komitmen tinggi menjayakan usaha murni ini.
Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link