KUNJUNGAN KEMENTERIAN KEWANGAN – PROJEK UNIMADANI 2025
PJIM UMPSA menerima kunjungan delegasi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi meninjau pelaksanaan program pendayaan komuniti Universiti Awam, UniMadani 2025. Lawatan bertujuan memantau perkembangan, keberkesanan dan impak projek yang dilaksanakan oleh penyelidik UMPSA bersama komuniti setempat.
Lawatan dijalankan di tiga daripada keseluruhan sembilan tapak program yang terletak di Gambang, Kuantan, Kampung Tebing Tinggi, Kuantan, dan di Kampung Marhum, Pekan, Pahang.
Penyelaras: Dr. Nurul Ashykin binti Abd Aziz
Lokasi: Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang, Kuantan, Pahang
Projek ini memberi pendedahan kemahiran pertanian moden melalui sistem fertigasi bagi meningkatkan keupayaan peserta program yang terdiri daripada Pegawain dan Penghuni PUSPEN ke arah berdikari dan berdaya saing di samping menyokong usaha serta inisiatif keterjaminan makanan.
Penyelaras: Profesor Madya Ir. Dr. Akhtar Razul bin Razali
Lokasi: Kampung Tebing Tinggi, Kuantan, Pahang
Projek ini menampilkan teknologi aerasi tersebar hasil penyelidikan UMPSA yang membantu meningkatkan hasil ternakan udang secara lebih cekap dan mampan. Teknologi yang dikongsikan dalam projek ini merupakan pendekatan kearah menyokong pembangunan komuniti yang lebih berdikari dan Lestari khususnya dalam bidang akuakultur moden. Projek dijangka akan memberi impak ekonomi yang signifikan kepada lebih 40 peserta dalam komuniti
Penyelaras: Profesor Madya Dr. Amir bin Razak
Lokasi: Kampung Marhum, Pekan, Pahang
Projek ini memperkenalkan kaedah pengeringan terbuka produk marin dan pertanian dengan memanfaatkan tenaga solar untuk teknologi pengeringan makanan. Teknologi sistem pengeringan hybrid solar-pam haba hasil penyelidikan UMPSA yang dikongsikan kepada komuniti Kampung Marhum berupaya membantu meningkatkan kualiti, kebersihan dan nilai tambah produk sedia ada melalui sistem dan kaedah pengeringan yang berkecekapan tinggi. Pelaksanaan projek ini juga sejajar dengan nilai MADANI melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, peningkatan kesejahteraan komuniti, dan inovasi teknologi yang mesra pengguna.
Terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas sokongan dan komitmen dalam menjayakan agenda UniMadani. UMPSA melalui PJIM akan terus komited menterjemah hasil penyelidikan Universiti kepada projek yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti selaras dengan agenda memperkukuh usaha memperkasa masyarakat melalui inovasi, teknologi dan kepakaran universiti. 


