UMPSA RANCANG TRANSFORMASI KAMPUNG ORANG ASLI MELALUI PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merancang pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani (KAM) di Kampung Orang Asli Chenan Cherah Baru, Cameron Highlands, dengan fokus utama kepada pembangunan menyeluruh kampung berkenaan.
Satu lawatan kerja telah diadakan ke kampung tersebut bagi merangka pelan pelaksanaan program. Lawatan ini melibatkan perbincangan bersama komuniti setempat serta penilaian terhadap potensi dan keperluan kampung bagi memastikan pelaksanaan program yang berimpak tinggi.
Perbincangan yang berlangsung di lokasi projek telah dihadiri oleh Pengarah Pusat Hubungan Komuniti UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris bersama pegawai-pegawai Pusat Hubungan Komuniti. Turut serta dalam perbincangan ialah Pengarah Pusat Teknologi Industri Termaju, Ts. Dr. Nasrul Hadi bin Johari, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif, Dr Nurul Ashykin binti Abd Aziz, pegawai serta wakil dari CiREL.
Menurut maklumat yang dikongsi, Kampung Chenan Cherah kini didiami seramai 100 orang penduduk, melibatkan 13 keluarga dan 12 unit rumah. Dianggarkan sekitar 80% daripada jumlah penduduk adalah beragama Islam. Kampung ini juga telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti 7 unit inap desa hasil kerjasama projek terdahulu, perpustakaan, surau, dan dewan orang awam.
Perbincangan turut menyentuh cadangan pembangunan meliputi aspek infrastruktur fizikal, pendidikan, serta pemberdayaan komuniti. Segala input yang diperoleh akan dibawa ke mesyuarat bersama agensi berkaitan bagi memperhalusi pelan tindakan pada fasa seterusnya.
