LAWATAN TAPAK BAGI PERSEDIAAN AWAL PROGRAM KEMBARA PRIHATIN
28 - 29 MEI 2024 - CAMERON HIGHLAND
PJIM bersama Yayasan UMPSA telah mengadakan lawatan tapak sebagai persediaan bagi program Kembara Prihatin pada Julai 2024 akan datang. Lawatan dan perbincangan bersama Guru Besar dilakukan di SK Telanok bagi program kluster pendidikan melibatkan pelajar sekolah rendah. Program kluster pendidikan ini menyasarkan penglibatan seramai 160 orang pelajar sekolah dan warga pendidik SK Telanok selama 2 hari yang padat dengan aktiviti interaktif berbentuk ilmiah seperti Street Science, 1 on 1 coaching yang memberi penekanan kepada aspek STEM dalam pendidikan.
Kembara Prihatin juga bakal menyantuni komuniti Orang Asli setempat melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan pemindahan ilmu, teknologi, keusahawanan, kelestarian, pendidikan, di samping bantuan. Turut sama dalam sesi lawatan adalah pegawai JAKOA Daerah Cameron, Encik Faiz. Sebanyak 6 kampung daripada keseluruhan 13 kampung di dalam Pos Telanok dicadangkan sebagai lokasi program iaitu, Kg Susu, Kg Sungai Lun, Kg Abu, Kg Senangkar, Kg Terakit, dan Kg Rening. Taklimat ringkas berkenaan program kepada Batin setiap kampung turut dijalankan dan kesemuanya menyambut dan menerima baik kehadiran UMPSA. Berdasarkan maklumat hasil pertemuan dengan Batin, program yang paling sesuai dilaksanakan di 6 lokasi ini adalah program Profesor Turun Padang yang berbentuk keusahawanan, pemindahan ilmu, kursus pendek komuniti, serta perkongsian/pemindahan teknologi.
Kesemua input yang diperolehi akan dibincang dan dimurnikan bagi mencapai solusi terbaik dengan impak yang maksimum kepada komuniti. Lawatan susulan akan dijalankan bagi proses koordinasi program setelah isi utama program Kembara Prihatin dimuktamadkan. Setinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada warga pendidik SK Telanok, JAKOA Daerah Cameron, barisan kepimpinan Orang Asli Pos Telanok, serta komuniti di lokaliti terlibat atas kerjasama dan sambutan mesra yang telah diberikan sepanjang sesi lawatan berlangsung.