SESI PERBINCANGAN KERJASAMA RAKAN STRATEGIK PJIM BERSAMA JPN PAHANG.
29 FEBRUARI 2024 - JPN, PAHANG
Satu sesi perbincangan yang signifikan telah berlangsung di antara wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan wakil Pusat Jaringan Industri & Masyarakat, UMPSA. Sesi perbincangan tersebut dipimpin oleh Prof Datin Ts Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim, Penolong Naib Canselor PJIM UMPSA, dan dihadiri oleh En. Zainuddin bin Mat Husin, Pengarah Bahagian Hubungan Universiti-Komuniti PJIM. Pihak JPN Pahang pula diwakili oleh En Amzan Abd Malek, Pengarah Pendidikan Negeri, bersama dengan Timbalan Pengarah TnHj Mohd Azmi Othman dan En Ahmad Zamri Mohd Isa, serta beberapa pegawai dan penyelaras bidang.
Perbincangan meliputi skop perancangan hubungan jangkapanjang antara UMPSA dan JPN Pahang dalam menyokong pembangunan pendidikan negeri Pahang, terutamanya dalam bidang STEM. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai program seperti program sekolah angkat, program faculty@school, jelajah STEM keseluruh negeri Pahang, program Profesor Turun Padang, dan aktiviti-aktiviti berkaitan.
Pihak JPN Pahang juga bersetuju untuk menjadikan PJIM sebagai pusat dalam rangka hubungan antara sekolah dan UMPSA. Untuk mengukuhkan lagi hubungan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk merangka dan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU). Perjanjian strategik ini dijangka dapat memacu kemajuan pendidikan di negeri Pahang, khususnya dalam bidang STEM, dan memberi manfaat yang besar kepada pelajar serta komuniti setempat.