UMPSA DAN PROTON METERAI KERJASAMA STRATEGIK MELALUI MoU

UMPSA DAN PROTON METERAI KERJASAMA STRATEGIK MELALUI MoU

14 JUN 2024 - PROTON, TANJUNG MALIM
 
Satu Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON) telah diadakan di PROTON, Tanjung Malim, Perak. Majlis ini dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi UMPSA iaitu Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin (Naib Canselor), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad bin Sulaiman (Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Binti Abdul Munaim (Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat) serta wakil-wakil dekan fakulti. Turut hadir daripada pihak PROTON, Encik Amran bin Mohd Tomin (Naib Presiden Sumber Manusia & Pentadbiran), Encik Tang Yaowen (Pengarah Kanan Pembuatan Kumpulan) serta beberapa wakil jabatan yang terlibat dalam kolaborasi ini.
 
Dalam ucapan perasmian, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin menegaskan bahawa, "Hubungan kerjasama dengan industri adalah sangat diperlukan dalam mencapai agenda strategik masing-masing. Aktiviti ini merangkumi penglibatan dalam bidang akademik, penyelidikan, hal ehwal pelajar, khidmat masyarakat mahupun bidang yang berkaitan dengan memberikan perkhidmatan secara terus kepada kumpulan sasaran," katanya. Antara fokus utama kerjasama ini adalah pembelajaran berasaskan Work-Based Learning (WBL). WBL adalah satu strategi pendidikan yang memberikan pelajar pengalaman kerja sebenar, di mana mereka boleh mengaplikasikan kemahiran akademik dan teknikal serta membangunkan kebolehan mereka.
 
Setakat ini, UMPSA telah menghantar empat pelajar Teknologi Kejuruteraan Mekanikal untuk program WBL bermula Mac lalu. Delegasi UMPSA juga turut berkesempatan melawat kilang operasi pengeluaran PROTON dan lawatan ini memberi peluang kepada UMPSA untuk melihat secara langsung teknologi terkini yang digunakan dalam pengeluaran automotif, serta memahami proses-proses yang terlibat.

Print   Email