ICoN's  Official Website    

UMPSA Sedia Bantu Komuniti Kuala Pahang Laksana Projek Berimpak Tinggi

UMPSA Sedia Bantu Komuniti Kuala Pahang Laksana Projek Berimpak Tinggi

Satu mesyuarat berkaitan pembangunan komuniti di Kuala Pahang telah berlangsung di Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (SDO), disertai pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pengerusi JKKK, Penghulu, serta Kumpulan Aduan dan Dasar Operasi (KADO) Daerah Pekan.
 
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Puan Shazilah dari Seksyen Kesejahteraan Rakyat SDO turut membincangkan status terkini permohonan projek komuniti dalam daerah Kuala Pahang di bawah inisiatif Sejati Madani. Menurut Penghulu kawasan, terdapat dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang masih belum mengemukakan permohonan. Namun begitu, salah satu projek yang telah diluluskan adalah projek penanaman cendawan tiram.
 
Puan Shazilah memaklumkan bahawa pihak SDO telah menerima sekitar 500 permohonan dan proses permohonan masih dibuka. Beliau menegaskan bahawa setiap permohonan perlu dikemukakan oleh pemohon yang layak serta disokong oleh Pegawai Daerah (DO), memandangkan kertas cadangan memerlukan pengesyoran rasmi daripada pihak DO sebelum dipertimbangkan lanjut.
 
Wakil-wakil dari Pejabat Jaringan Industri & Masyarakat (JIM) UMPSA telah mengambil peluang untuk membentangkan pengalaman institusi itu dalam pelaksanaan projek komuniti berasaskan teknologi, termasuk sistem fertigasi, penggunaan Internet of Things (IoT), penternakan itik, penghasilan baja, dan penanaman herba. Turut diketengahkan ialah penggunaan teknologi terkini seperti blockchain yang mampu meningkatkan nilai tambah kepada produk komuniti.
 
Selain itu, JIM turut menyatakan kesediaan para penyelidik UMPSA untuk membantu komuniti melalui kepakaran yang dimiliki, di samping potensi untuk menjayakan projek-projek yang mampan hasil akses UMPSA kepada pelbagai geran penyelidikan dan dana pengkomersialan daripada agensi kerajaan.
 
SDO menyambut baik cadangan kolaborasi tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa penglibatan institusi pengajian tinggi seperti UMPSA mampu menjadikan projek komuniti lebih berimpak tinggi dan lestari.
 
Namun begitu, mesyuarat turut mendedahkan kekangan maklumat dalam kalangan komuniti. Wakil dari Kuala Pahang menyatakan mereka tidak menyedari kewujudan kepakaran UMPSA walaupun berada dalam kawasan berhampiran. Susulan itu, satu cadangan telah dikemukakan agar UMPSA diberi ruang untuk memperkenalkan kepakarannya dalam sesi perbincangan bersama Pegawai Daerah, Penghulu dan wakil-wakil komuniti di seluruh Pahang.
 
Menjawab kebimbangan segelintir pihak berhubung kemungkinan caj konsultasi dikenakan oleh institusi pengajian tinggi, wakil JIM menjelaskan bahawa UMPSA tidak mengenakan sebarang bayaran honorarium kepada komuniti yang terlibat dalam projek Sejati Madani. Sebaliknya, semua kos berkaitan peralatan dan modul latihan ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
 
Mesyuarat berakhir dengan kesepakatan bahawa kerjasama strategik antara UMPSA dan komuniti setempat perlu diperkasa demi menjayakan aspirasi pembangunan rakyat secara inklusif dan berdaya tahan.
Bagai Sirih Pulang ke Gagang 20 alumni staf UMPSA kembali ke kampus jayakan Program ALAM@UMPSA 2025
Featured

Bagai Sirih Pulang ke Gagang 20 alumni staf UMPSA kembali ke kampus jayakan Program ALAM@UMPSA 2025

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini dikunjungi seramai 20 alumni staf UMPSA yang terdiri daripada mantan Naib Canselor, Pendaftar, Timbalan Naib Canselor, dekan, Pengarah-pengarah dan staf pengurusan serta pentadbiran yang pernah menyumbang bakti di universiti ini.
 
Mereka yang hadir , Naib Canselor UMPSA ketiga , Prof Emeritus Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor UMPSA kelima, Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin , Timbalan Rektor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) pertama, Profesor Emeritus Dato Ts Dr Mortaza Mohamed , mantan Pendaftar, Dato' Hj Saudi Hj Ahmad yang berkhidmat pada tahun 2005-2007, Datin Sri Fazia Ali serta lain-lain yang dirai.
 
Hadir menyambut alumni, Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias .
 
Beliau merasa begitu terharu dan bersyukur kerana dapat berpeluang bertemu muka dengan insan-insan yang telah banyak berjasa kepada universiti ini.
 
“Tanpa pengorbanan, dedikasi dan sumbangan yang diberikan, mustahil universiti ini dapat berdiri teguh seperti hari ini. Malahan setiap masa yang anda luangkan, setiap tenaga yang dikorbankan dan setiap idea yang anda sumbangkan, telah meninggalkan kesan dalam pembangunan universiti ini.
 
“Anda bukan sekadar bekas staf dan pesara,
tetapi anda adalah legasi hidup yang terus menginspirasi kita semua,” katanya.
 
Dalam pada itu, aktiviti penghijauan Rimba Komuniti pada hari ini melibatkan 60 batang anak pokok hutan pelbagai jenis yang telah dikenal pasti sesuai dengan persekitaran dan tanah di sini.
 
Antaranya anak pokok jenis Meranti Tembaga, Keruing Kertas, Balau Pasir, Keladan, Merbau, Cengal, Kulim serta anak pokok Petai di tapak RIMBA KOMUNITI yang berkeluasan 6.7 ekar ini.
 
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahari Ahmad Bakarim.
 
Program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan menghubung semula pesara dan bekas staf dengan UMPSA di samping mengeratkan hubungan selain meraikan sempena Ulang Tahun ke-23 UMPSA.
 
Selain daripada itu, program yang laksanakan ini adalah usaha berterusan Inisiatif Penghijauan Kampus UMPSA dalam menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang telah bermula pada tahun 2021-2025 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah di Malaysia dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok selain memenuhi objektif SDG 13 dan SDG15 iaitu isu berkaitan Climate Action dan Life on Land.
 
Dalam acara ini juga, peserta turut dibawa melawat sekitar Kampus Pekan dan diberi penerangan berkenaan perkembangan semasa pembangunan Kampus Pekan. Antara lokasi yang dilawati adalah Rimba Lestari, Sistem Panel Solar dan Masjid UMPSA.
 
Program yang dianjurkan oleh Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Canseleri, Jabatan Pendaftar dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta ini telah berjaya mencipta kenangan bersama yang akan menjadi ingatan manis yang mengukuhkan lagi keakraban semua sesuai dengan tema program “Satu Pokok Seribu Kenangan”.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR MRSM ATM BERA KE UMPSA

LAWATAN SAMBIL BELAJAR MRSM ATM BERA KE UMPSA

Seramai 110 orang pelajar Tingkatan 5 dan 8 orang guru pengiring dari MRSM ATM Bera telah menyertai Program Lawatan Sambil Belajar MRSM ATM Bera Ke UMPSA yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama (DKU), Blok W, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kampus Gambang. Program ini dianjurkan oleh PJIM dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses, Fakulti Sains & Teknologi Industri, Pusat Sains Matematik serta Pusat TVET Termaju.
 
Program ini bertujuan untuk memupuk minat pelajar dalam STEM dan HTVET. Selain itu, ia turut mempromosikan program-program pengajian di UMPSA agar pelajar ini lebih berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini di peringkat pendidikan tinggi, sekali gus menjadikan UMPSA sebagai pilihan utama mereka.
 
Sepanjang program, pelajar berpeluang melihat aplikasi sebenar ilmu STEM, melakukan aktiviti hands-on eksperimen di makmal-makmal UMPSA, serta mengikuti sesi perkongsian ilmu berkenaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh tenaga akademik UMPSA. Pendedahan ini membantu meningkatkan kesedaran pelajar tentang peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM serta memperkukuhkan pemahaman mereka terhadap kepentingan inovasi dan teknologi terkini.
 
Program ini diakhiri dengan Majlis Menandatangi Surat Niat (LoI) antara Pusat TVET Termaju dengan MRSM ATM Bera yang disempurnakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sharir bin Mohd Sani, Pengarah Pusat TVET Termaju UMPSA bersama Tn. Hj. Mohd Nizar bin Idris, Pengetua MRSM ATM Bera.
 
Secara keseluruhannya, program ini menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG4: Pendidikan Berkualiti dan SDG17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat, dengan memastikan pendidikan STEM dan HTVET yang berkualiti dan membina rangkaian kerjasama antara institusi pendidikan.
MESYUARAT BERSAMA PUPUK DAN MAXIS: MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN DIGITAL
Featured

MESYUARAT BERSAMA PUPUK DAN MAXIS: MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN DIGITAL

Satu mesyuarat rasmi telah diadakan antara Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK) dan Maxis bertempat di Bilik Mesyuarat PJIM, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang. Mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah kategori PRIHATIN yang bertujuan untuk mengurangkan jurang pembelajaran dalam kalangan pelajar serta meningkatkan penglibatan sektor korporat dalam menyokong pendidikan negara.
 
Perjumpaan ini diadakan bagi membincangkan langkah-langkah strategik dalam memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap subjek yang dipelajari. Melalui penggunaan platform pembelajaran digital yang lebih interaktif dan berkesan, diharapkan pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran dapat memperoleh manfaat yang maksimum.
 
Selain itu, sesi ini juga menekankan kepentingan penglibatan sektor korporat, khususnya Maxis, dalam menyokong inisiatif pendidikan kerajaan. Usaha ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia dan kumpulan B40.
 
Kerjasama antara PJIM, PUPUK dan Maxis ini turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG4: Pendidikan Berkualiti dan SDG17: Kerjasama Untuk Mencapai Matlamat. Dengan jalinan kerjasama yang erat antara sektor awam dan swasta, inisiatif seperti ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.
 
Perbincangan ini menandakan satu langkah ke hadapan dalam usaha memastikan setiap pelajar mendapat peluang pembelajaran yang lebih baik melalui teknologi digital. PJIM, PUPUK dan Maxis komited untuk terus bekerjasama dalam memperkasakan sistem pendidikan negara demi masa depan yang lebih cerah.
UMPSA TUAN RUMAH MESYUARAT AGUNG PERTAMA KOPERASI USAHAWAN TANI IOT PAHANG BERHAD
Featured

UMPSA TUAN RUMAH MESYUARAT AGUNG PERTAMA KOPERASI USAHAWAN TANI IOT PAHANG BERHAD

Buat julung kalinya, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Usahawan Tani IOT Pahang (KUTIP) Berhad yang berlangsung di Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMPSA Pekan selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
 
Penubuhan koperasi ini adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan dan aspirasi usahawan yang akan menjadi ahli koperasi dalam usaha untuk meningkatkan sosioekonomi, menjana pendapatan secara kolektif, serta memiliki satu medium ekosistem yang kondusif dan menyeluruh dalam kalangan usahawan tani.
 
Dua orang wakil UMPSA telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Koperasi atas saranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang bagi membantu urusan dan pergerakan awal koperasi, iaitu Ketua Program serta Pengurus Projek IoT Based Smart Farming System, Dr. Nurul Ashykin Abdul Aziz dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) UMPSA dan Eksekutif Teknikal, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Yusmin Jaffar. Turut sama menjayakan program ialah Sekretariat Projek IoT Based Smart Farming System PJIM UMPSA, Rozana Sahadan.
Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link