ICoN's  Official Website    

UMPSA Pamer ResQ Solar Emergency Power Station di Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025
Featured

UMPSA Pamer ResQ Solar Emergency Power Station di Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan peranan sebagai institusi yang menyokong usaha inovatif tenaga hijau dengan memperkenalkan ResQ Solar Emergency Power Station sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 di Padang FA Jerantut, Pahang.
 
Produk ini merupakan hasil ciptaan melibatkan Jurutera Kanan, Ts. Hj Mohd Nurakla bin Mohd Azlan dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Profesor Madya Ts.Dr. Amir bin Abdul Razak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), serta Prof. Madya Dr. Abdul Syukor bin Abd Razak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).
 
Inisiatif teknologi solar ini disediakan khas agar ia menjadi sistem mudah alih, boleh digunakan serta-merta tanpa pemasangan rumit dan menjadikan ia pilihan ideal untuk kegunaan pihak berkuasa kecemasan, pasukan penyelamat dan komuniti di kawasan berisiko bencana.
 
Menurut Ts. Hj Mohd Nurakla, ResQ Solar Emergency Power Station merupakan satu peranti bekalan elektrik alternatif yang berasaskan tenaga solar, direka untuk menggantikan generator konvensional terutamanya dalam situasi kecemasan atau gangguan bekalan elektrik.
 
“Dengan teknologi plug-and-play, sistem hibrid solar-bateri dan kawalan pintar, peranti ini membolehkan pelbagai peralatan penting termasuk pencahayaan LED dan alat perubatan asas bagi mendapat bekalan tenaga dengan cepat dan selamat,” katanya.
 
Selain itu, reka bentuk tahan lasak serta operasi tanpa bunyi dan pelepasan karbon menjadikan inovasi UMPSA ini bukan sekadar responsif kepada krisis, tetapi juga menyokong agenda kelestarian nasional melalui ESG dan SDG.
 
UMPSA turut berperanan dalam memastikan amalan kelestarian diterapkan dengan pelbagai projek tenaga hijau seperti solar terapung dan pemasangan solar di bunbung universiti.
 
Pameran ini menjadi sebahagian daripada inisiatif Bulan Kesiapsiagaan Nasional bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peri pentingnya kesiapsiagaan bencana dan peranan teknologi hijau dalam memperkukuh tindak balas semasa kecemasan.
 
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.
 
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang BKN 2025 termasuklah pameran aset logistik dan jentera pengurusan bencana.
MAJLIS PENUTUP KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI
Featured

MAJLIS PENUTUP KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI

KUANTAN, 3 Oktober 2025 – Majlis Penutup Karnival Sekolah Angkat MADANI telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh, menandakan berakhirnya program sepanjang minggu yang sarat dengan aktiviti pendidikan, sains dan komuniti.
 
Majlis disempurnakan oleh Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee dan turut dihadiri oleh wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), serta kepimpinan tempatan. Antara pengisian utama ialah Pertandingan Akhir Soccerbot dan Sumobot UMPSA, Exploria: Jelajah Sains Digital, pameran oleh Hong Leong Bank dan PPAP, serta gimik penanaman pokok sebagai simbol kelestarian.
 
Program ini merupakan kolaborasi antara UMPSA dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam memperkukuh hubungan universiti dan komuniti melalui inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI MERIAHKAN SK CHEROK PALOH

KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI MERIAHKAN SK CHEROK PALOH

Program Karnival Sekolah Angkat MADANI yang berlangsung pada 1 dan 2 Oktober 2025 di Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh merupakan kesinambungan daripada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI pada 30 September lalu, hasil kolaborasi antara UMPSA dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
 
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk Pertandingan Soccerbot dan Sumobot UMPSA, Exploria: Jelajah Sains Digital, serta pameran oleh Hong Leong Bank dan Perpustakaan Bergerak PPAP yang berjaya menarik penyertaan kira-kira 250 orang pelajar sekolah dan 35 orang penduduk setempat.
 
Penganjuran ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam menjayakan agenda Sekolah Angkat MADANI sebagai platform memperkasa pendidikan, teknologi dan nilai kemasyarakatan.
KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI UMPSA-SK CHEROK PALOH 2025: ZAHIR KOMITMEN IHSAN BINA NEGARA, MELANGKAUI PROGRAM CSR
Featured

KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI UMPSA-SK CHEROK PALOH 2025: ZAHIR KOMITMEN IHSAN BINA NEGARA, MELANGKAUI PROGRAM CSR

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini melancarkan Karnival Sekolah Angkat MADANI UMPSA – SK Cherok Paloh 2025 di Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh (SKeCH), Kuantan. Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Utama SK Cherok Paloh itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha.
 
Program ini merupakan inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan dengan melantik UMPSA sebagai agensi pelaksana. Dengan peruntukan sebanyak RM100,000, inisiatif Sekolah Angkat MADANI ini digerakkan bagi memperkukuh pendekatan holistik dalam usaha merapatkan jurang pendidikan, khususnya untuk sekolah luar bandar.
 
Dalam ucapannya, Profesor Ts. Dr. Aida Binti Mustapha menyatakan pendidikan anak-anak di bangku sekolah bukanlah tanggungjawab ekslusif Kementerian Pendidikan tetapi amanah yang harus dipikul semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal. Melalui program SAM, nilai “civic virtue” setiap individu terlibat dapat dicambah dan diperkukuh melalui rasa tanggungjawab bersama, semangat kebersamaan dan kepedulian sosial yang menjadi asas penting dalam membina negara yang berdaya saing.
 
Peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Kementerian Kewangan, ditambah dengan dana tambahan RM20,000 daripada UMPSA, telah memberi tumpuan kepada pelaksanaan transformasi digital, penambahbaikan fasiliti pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), pembangunan modal insan, serta pembaikan infrastruktur fizikal sekolah yang uzur. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, pihak sekolah turut menerima kelengkapan pembelajaran moden termasuk Google TV untuk Bilik Sains dan Smart Board bagi Makmal ICT SKeCH,” ujar Profesor Ts. Dr. Aida.
 
“Dana ini turut merangkumi pelaksanaan Program Pembangunan Bakat Tenaga Pengajar SKeCH dan penubuhan Kelab STEM SKeCH, bagi memastikan guru serta pelajar menerima pendedahan dan latihan terkini dalam bidang STEM. Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk melahirkan generasi celik sains dan teknologi sejak di bangku sekolah rendah,” jelas beliau lagi.
 
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Tuan Haji Shaiful-Azizi bin Mohd Kassim, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, serta Encik Muhammad Faizal bin Sidek, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang.
 
Sementara itu, Guru Besar SK Cherok Paloh, Encik Borhanuddin bin Aziz, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada UMPSA. Beliau optimis bahawa sumbangan besar ini akan melonjakkan prestasi akademik dan kokurikulum sekolah.
 
“Dengan kelengkapan baharu seperti peralatan Pusat Sumber dan Makmal Komputer, serta kelengkapan untuk Wartawan Cilik SKeCH dan Unit Beruniform, kami yakin persekitaran pembelajaran akan menjadi lebih kondusif dan menyeronokkan, sekali gus meningkatkan motivasi warga sekolah,” ujar Encik Borhanuddin.
 
Antara aktiviti menarik sepanjang Karnival Sekolah Angkat Madani UMPSA – SKeCH 2025 yang berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober 2025 termasuklah kempen kelestarian alam, Jelajah Sains dan Digital UMPSA-Exploria, lawatan ke makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif UMPSA Pekan, lawatan industri ke kilang Mercedes-Benz Pekan, pameran kenderaan elektrik serta pertandingan soccerbot dan sumobot.
 
Program ini turut mendapat sokongan erat daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, di samping melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi dan industri seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Exploria, Hong Leong Islamic Bank, Mercedes-Benz Malaysia, Noble Cars Kuantan serta Koperasi Usahawan Tani IoT Pahang (KUTIP) Berhad.
 
Model jalinan kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan industri ini akan terus diperkasakan oleh UMPSA dalam pelbagai program CSR yang akan datang. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberi impak tinggi dan tidak sekadar bersifat CSR semata-mata.
MURID DAN GURU SK CHEROK PALOH TERUJA LAWAT MAKMAL BERTEKNOLOGI TINGGI UMPSA DAN KILANG PEMASANGAN KERETA BERTARAF DUNIA
Featured

MURID DAN GURU SK CHEROK PALOH TERUJA LAWAT MAKMAL BERTEKNOLOGI TINGGI UMPSA DAN KILANG PEMASANGAN KERETA BERTARAF DUNIA

29 September 2025 | Pekan
 
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan lawatan sambil belajar sempena Karnival Sekolah Angkat MADANI 2025, melibatkan murid dan guru Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh (SKeCH) ke kampus UMPSA Pekan serta kilang pengeluaran kereta Mercedes-Benz Pekan. Program ini dianjurkan melalui inisiatif Sekolah Angkat MADANI, bertujuan memperkasa pendidikan holistik dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang kejuruteraan, teknologi dan industri automotif, di samping menyemai minat mereka terhadap kerjaya masa hadapan dalam bidang sains, teknologi atau kejuruteraan.
 
Di UMPSA Pekan, para peserta berpeluang melawat Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA). Antara fasiliti yang dilawati ialah Makmal Pendawaian, Makmal Mini Plant, Makmal LV & EV, Makmal Automasi Industri, Makers Lab serta Makmal Kenderaan Elektrik. Lawatan ini membolehkan murid dan guru menyaksikan sendiri secara dekat penggunaan peralatan moden dan teknologi terkini dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
 
Rombongan turut dibawa ke kilang Mercedes-Benz Pekan, di mana mereka berpeluang meninjau secara langsung proses pengeluaran kenderaan bertaraf antarabangsa. Pengalaman ini bukan sahaja memperluas pengetahuan murid dalam memahami proses industri automotif, malah diharap dapat menyemai minat untuk memilih laluan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan, sekali gus menyokong pembangunan modal insan negara serta aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara maju dan berteknologi termaju.
 
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan, dengan sokongan erat daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. Inisiatif ini menampilkan model jalinan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan industri yang seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI. UMPSA akan terus memperkukuh model kerjasama ini melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi pada masa hadapan, dengan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti dan tidak hanya bersifat CSR semata-mata.
Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link