ICoN's  Official Website    

KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI UMPSA 2025: MURID DAN GURU SK CHEROK PALOH TERUJA LAWAT MAKMAL BERTEKNOLOGI TINGGI UMPSA DAN KILANG PEMASANGAN KERETA BERTARAF DUNIA

KARNIVAL SEKOLAH ANGKAT MADANI UMPSA 2025: MURID DAN GURU SK CHEROK PALOH TERUJA LAWAT MAKMAL BERTEKNOLOGI TINGGI UMPSA DAN KILANG PEMASANGAN KERETA BERTARAF DUNIA

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan lawatan sambil belajar sempena Karnival Sekolah Angkat MADANI 2025, melibatkan murid dan guru Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh (SKeCH) ke kampus UMPSA Pekan serta kilang pengeluaran kereta Mercedes-Benz Pekan. Program ini dianjurkan melalui inisiatif Sekolah Angkat MADANI, bertujuan memperkasa pendidikan holistik dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang kejuruteraan, teknologi dan industri automotif, di samping menyemai minat mereka terhadap kerjaya masa hadapan dalam bidang sains, teknologi atau kejuruteraan.
 
Di UMPSA Pekan, para peserta berpeluang melawat Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA). Antara fasiliti yang dilawati ialah Makmal Pendawaian, Makmal Mini Plant, Makmal LV & EV, Makmal Automasi Industri, Makers Lab serta Makmal Kenderaan Elektrik. Lawatan ini membolehkan murid dan guru menyaksikan sendiri secara dekat penggunaan peralatan moden dan teknologi terkini dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
 
Rombongan turut dibawa ke kilang Mercedes-Benz Pekan, di mana mereka berpeluang meninjau secara langsung proses pengeluaran kenderaan bertaraf antarabangsa. Pengalaman ini bukan sahaja memperluas pengetahuan murid dalam memahami proses industri automotif, malah diharap dapat menyemai minat untuk memilih laluan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan, sekali gus menyokong pembangunan modal insan negara serta aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara maju dan berteknologi termaju.
 
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan, dengan sokongan erat daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. Inisiatif ini menampilkan model jalinan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan industri yang seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI. UMPSA akan terus memperkukuh model kerjasama ini melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi pada masa hadapan, dengan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti dan tidak hanya bersifat CSR semata-mata.
UMPSA Anjur Round Table Discussion Perkasa Pendidikan Negeri Pahang
Featured

UMPSA Anjur Round Table Discussion Perkasa Pendidikan Negeri Pahang

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Round Table Discussion (RTD) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bertempat di Ancasa Royale Hotel, Pekan, hari ini.
 
Program ini menghimpunkan wakil JPN, PPD, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik bagi memperkukuh kolaborasi dalam bidang pendidikan, khususnya melibatkan pembangunan bakat, penguasaan STEM serta pemerkasaan TVET.
 
Majlis dimulakan dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Binti Mustapha, diikuti ucaptama Pengarah JPN Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa.
 
Taklimat mengenai peranan UMPSA dalam memperkukuh hubungan komuniti turut disampaikan oleh Pengarah Pusat Hubungan Komuniti UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris.
 
Sepanjang sesi, peserta RTD meneliti lapan fokus utama UMPSA dalam bidang pendidikan, antaranya pembangunan Pusat TVET Termaju, Pendidikan STEM, Pusat Sains Matematik, Kecerdasan Buatan (AI), Bahasa Inggeris, Pusat Fleksibel (e-Learning), Pusat Inklusif (OKU) dan Pahang Talentlympics. UMPSA turut membentangkan Showcase Expertise melibatkan 11 penyelidik universiti dalam pelbagai bidang kepakaran.
 
Profesor Ts. Dr. Aida menegaskan bahawa pendidikan bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.
 
UMPSA komited menjadi rakan strategik utama dalam membina generasi berdaya saing melalui inovasi, pemindahan ilmu dan program komuniti.
 
Beliau turut memperkenalkan Geran Inovasi Sosial UMPSA sebagai inisiatif untuk memastikan hasil penyelidikan universiti dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.
 
Sokongan endowmen daripada industri dan NGO turut dialu-alukan bagi menggerakkan lebih banyak program pembangunan komuniti.
 
Majlis diakhiri dengan sesi perbincangan meja bulat, pembentangan rumusan serta sesi bergambar bersama semua peserta.
 
Foto oleh Khairu Aidilnishah Rizan
SIRI 1: INISIATIF KAMPUNG ANGKAT MADANI UMPSA DI KOA CHENAN CHERAH BARU

SIRI 1: INISIATIF KAMPUNG ANGKAT MADANI UMPSA DI KOA CHENAN CHERAH BARU

Inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) UMPSA di Kampung Orang Asli Chenan Cherah Baru (Telip) membuka tirai dengan aktiviti pre-assessment komunikasi Bahasa Inggeris, bancian penduduk, aktiviti keceriaan kawasan inap desa, taklimat kursus hospitaliti dan kulinari, serta perbincangan berkenaan pembinaan dewan aktiviti masyarakat yang akan dijalankan secara gotong royong bersama penduduk kampung.
 
Aktiviti pre-assessment bagi mengenalpasti tahap pemahaman dan kebolehan komunikasi bahasa inggeris diketuai Encik Yusmin Bin Jaffar dibantu oleh Puan Rozana Sahadan dan Cik Nur Ain Zakiah daripada Pusat Hubungan Komuniti, Jabatan Penyelidikan & Inovasi melibatkan seramai 20 orang penduduk yang terdiri daripada 10 orang malim gunung dan 10 orang pengusaha inap desa.
 
Manakala sesi bancian dan kutipan data bagi semua penduduk berjumlah 11 buah rumah induk diketuai oleh Dr Norhaliza binti Wahab daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam dibantu oleh lima orang sukarelawan pasca siswazah UMPSA. Kutipan data demografik bertujuan untuk mengenalpasti kesesuaian penduduk sebagai peserta bagi siri latihan TVET dalam inisiatif KAM yang akan datang, juga termasuk kursus perlesenan motorsikal dan lain-lain.
Program PTP: Projek Penanaman Nanas MD2, IPR Basmi Miskin Tegar, Komuniti Orang Asli Kampung Kuin/Lengut

Program PTP: Projek Penanaman Nanas MD2, IPR Basmi Miskin Tegar, Komuniti Orang Asli Kampung Kuin/Lengut

Penyediaan dan penanaman 10000 benih baru, di tapak seluas 2.5 ekar memuatkan keseluruhan 30000 pokok nanas. Jangkaan hasil pendapatan sebanyak RM180,000.00 dalam tempoh 11 bulan melibatkan 3 orang Ketua Isi Rumah Miskin Tegar Orang Asli Kuin/Lengut, Bera, Pahang Darul Makmur.

Pemerkasaan Ekosistem Inovasi & Pengkomersialan UMPSA

Pemerkasaan Ekosistem Inovasi & Pengkomersialan UMPSA

"Langkah-langkah kecil yang diatur hari ini adalah sebahagian daripada perjalanan membina ekosistem inovasi & pengkomersialan UMPSA – benih-benih yang bakal menjadi rimbun kejayaan di masa depan,"
 
Pada 27 Julai 2025, Prof. Ts. Dr. Aida binti Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) mengetuai delegasi UMPSA ke Pusat Inovasi & Pengkomersialan USM bagi sesi lawatan penanda aras.
 
Delegasi turut disertai:
1. Prof. Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani (Pengarah Pusat Perundingan dan Pengkomersialan - C&C)
2. Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris (Pengarah Pusat Hubungan Komuniti)
3. Cik Hardyana Mohd Saman (C&C)
4. En. Mohd Nizam Abdul Rashid (Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi - ITC)
 
Perkongsian polisi, proses kerja dan amalan operasi terbaik dari USM ini membuka perspektif baharu dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan pengkomersialan UMPSA.
Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link