Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rumah Penyayang Tun Abdul Razak dalam satu majlis yang turut menyaksikan peluncuran Program Komuniti Berintegrasi bertempat di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Pekan.
Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Datuk Shahlan Ismail, mewakili pihak Rumah Penyayang Tun Abdul Razak.
Majlis turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, serta Pengarah Pusat Hubungan Industri UMPSA, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee.
Menurut Prof. Ts. Dr. Aida, program ini bukan sekadar simbolik tetapi merupakan satu langkah konkrit dalam memperkasa komuniti, khususnya golongan memerlukan, melalui sokongan dalam bentuk pendidikan, kemahiran, teknologi dan kesejahteraan hidup.
“Melalui Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti UMPSA, kami melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi bagi memperkukuh jaringan bersama pemegang taruh selain memindahkan pengetahuan dan teknologi kepada komuniti,” jelas beliau.
Program ini merangkumi lima sub-projek utama berasaskan teknologi dan latihan kemahiran TVET iaitu Sistem Solar dan Teknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Automatik, Teknologi Probiotik untuk Fertigasi, Aplikasi Web dan Pengurusan Projek Perisian Komputer serta Pemasaran dan Keusahawanan.
Setiap projek diketuai oleh tenaga akademik UMPSA yang pakar dalam bidang masing-masing, dengan matlamat memperkasakan penghuni Rumah Penyayang menerusi pendekatan lestari dan berorientasikan masa depan.
Prof. Ts. Dr. Aida turut menyatakan keyakinan bahawa inisiatif seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih luas antara institusi pengajian tinggi dan komuniti di seluruh negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran warga UMPSA, anak-anak Rumah Penyayang Tun Abdul Razak serta para tetamu kehormat yang lain.
Foto oleh Khairu Aidilnishah Rizan