ICoN's  Official Website    

LAWATAN PENANDA ARAS KE PUSAT KAJIAN SAMUDERA DAN PANTAI (CEMACS) UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

LAWATAN PENANDA ARAS KE PUSAT KAJIAN SAMUDERA DAN PANTAI (CEMACS) UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

Pusat Hubungan Komuniti (PHK), Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Pusat Kajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia (USM) bertempat di Teluk Bahang bagi mempelajari pengalaman kejayaan CEMACS melaksanakan inisiatif Living Lab.
 
Lawatan ini turut bertujuan untuk mengenal pasti potensi jalinan kerjasama strategik antara UMPSA dan USM, mendapatkan input mengenai cabaran dalam pelaksanaan program Living Lab bersama komuniti, disamping mengetahui aspek pengurusan CEMACS, kejayaan dalam memperkasakan komuniti dan impak program yang telah berjaya dilaksanakan selama lebih 30 tahun beroperasi sejak tahun 1991.
 
Delegasi UMPSA diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah disambut dan dibawa melawat oleh Pengarah CEMACS, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai. Turut serta dalam lawatan ini dari UMPSA adalah Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris, Pengarah Pusat Hubungan Komuniti.
LAWATAN PENANDA ARAS KE BAHAGIAN JARINGAN INDUSTRI & MASYARAKAT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (BJIM USM)

LAWATAN PENANDA ARAS KE BAHAGIAN JARINGAN INDUSTRI & MASYARAKAT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (BJIM USM)

Pusat Hubungan Komuniti (PHK), Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mempelajari pelaksanaan program/projek industri dan komuniti berimpak tinggi yang dijalankan oleh USM serta menjalin potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
 
Lawatan ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan projek, pendekatan penglibatan industri dan komuniti, serta penilaian impak yang telah dicapai hasil pelaksanaan program oleh USM. Turut dibincangkan adalah cabaran utama yang dihadapi serta strategi penyelesaian yang boleh dijadikan rujukan untuk pelaksanaan program komuniti di UMPSA.
 
Delegasi UMPSA diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris, Pengarah Pusat Hubungan Komuniti.
 
Sesi libat urus telah dipengerusikan oleh Ts. Dr. Wan Maryam binti Wan Ahmad Kamil, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, yang telah berkongsi amalan terbaik dalam pengoperasian program industri dan komuniti serta peranan strategik universiti dalam memperkasa hubungan industri dan masyarakat bukan sahaja di Pulau Pinang malah di seluruh Malaysia secara mampan.
 
Lawatan ini dijangka dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara UMPSA dan USM serta memberi inspirasi kepada UMPSA untuk merancang program industri dan komuniti yang lebih holistik, lestari dan berimpak tinggi kepada industri dan masyarakat.
MESYUARAT KELULUSAN KERTAS KERJA PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI DI SK CHEROK PALOH, KUANTAN

MESYUARAT KELULUSAN KERTAS KERJA PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI DI SK CHEROK PALOH, KUANTAN

Pusat Hubungan Komuniti (PHK) Jabatan Penyelidikan & Inovasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan telah mengadakan mesyuarat penyelarasan Program Sekolah Angkat MADANI bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherok Paloh (SKECH), Kuantan.
 
Mesyuarat ini diadakan bagi meneliti dan memurnikan perancangan inisiatif Sekolah Angkat MADANI yang telah dikemukakan oleh pihak sekolah. UMPSA telah dilantik sebagai penyelaras bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SKECH, dengan peruntukan diterima daripada kerajaan sebanyak RM100,000.
 
Peruntukan ini bakal digunakan berdasarkan skop yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), merangkumi bukan sahaja pembaikan kecil infrastruktur sekolah, malah juga pelaksanaan program bimbingan dan pembangunan sahsiah murid.
 
Setelah sesi pembentangan dan perbincangan kos projek selesai, ahli mesyuarat telah dibawa melawat ke beberapa lokasi sekitar sekolah bagi verifikasi teknikal oleh jurutera dari PPD Kuantan. Beberapa penambahbaikan telah dicadangkan oleh pihak JPN dan PPD untuk memastikan kelulusan dapat diperoleh daripada Pengarah JPN dalam masa terdekat.
 
Ahli-ahli mesyuarat seterusnya dibawa untuk melakukan lawatan tapak dan draf akhir kertas cadangan telah dipersetujui secara sebulat suara oleh semua ahli mesyuarat. Kertas kerja tersebut akan dikemukakan kepada Pengarah JPN untuk pertimbangan dan kelulusan rasmi.
 
UMPSA amat komited untuk melaksanakan program Sekolah Angkat MADANI di SKECH dengan harapan SKECH dapat keluar daripada status Sekolah Kurang Murid (SKM). Diharapkan program ini akan memberikan manfaat kepada murid-murid, warga pendidik serta komuniti setempat.
MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI BERSAMA AHLI PARLIMEN CAMERON DAN AGENSI-AGENSI BERKAITAN
Featured

MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI BERSAMA AHLI PARLIMEN CAMERON DAN AGENSI-AGENSI BERKAITAN

Pusat Hubungan Komuniti (PHK) Jabatan Penyelidikan Inovasi UMPSA telah melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Dr. Ramli bin Mohd Nor yang merupakan ahli parlimen Cameron Highlands.
 
Berlangsung sama semasa kunjungan hormat ini adalah mesyuarat penyelarasan program Kampung Angkat Madani di Kampung Orang Asli (KOA) Chenan Cherah (Telip), Pos Telanok, Cameron Highlands bersama agensi-agensi berkaitan yang telah dihadiri wakil Kementerian Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.
 
Delegasi UMPSA diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida binti Mustapha. Kunjungan ini turut dihadiri oleh Pengarah PHK, Dr. Daing Mohamad Nafiz bin Daing Idris, dan pegawai PHK iaitu En. Yusmin bin Jaffar dan Puan Rozana binti Sahadan.
 
Dalam sesi perbincangan ini, YB Dato’ Dr. Ramli telah dimaklumkan tentang status kemajuan projek serta perancangan yang bakal dilakukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam projek Kampung Angkat Madani. KOA Chenan Cherah (Telip), Pos Telanok, Cameron Highlands telah terpilih sebagai salah satu kampung yang menerima peruntukan RM1 juta ringgit daripada kerajaan bagi membangunkan infrastruktur asas kemudahan di kampung agar tidak ketinggalan berbanding dengan KOA lain.
 
UMPSA telah diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani di KOA Chenan Cherah (Telip) di mana UMPSA akan membantu menaiktaraf jalan masuk ke kampung, pemasangan akses internet di kawasan kampung dan menyediakan latihan TVET yang bersesuaian untuk penduduk kampung.
MENYERTAI PROGRAM ZIARAH DAN SANTUNI ORANG KITA BERSAMA ROMBONGAN SENATOR DEWAN NEGARA KE POS TELANOK, CAMERON
Featured

MENYERTAI PROGRAM ZIARAH DAN SANTUNI ORANG KITA BERSAMA ROMBONGAN SENATOR DEWAN NEGARA KE POS TELANOK, CAMERON

Pusat Hubungan Komuniti (PHK), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (Jaringan Industri & Masyarakat) UMPSA telah menyertai program “Ziarah dan Santuni Orang Kita bersama Rombongan Senator Dewan Negara” ke Kampung Orang Asli Telip, Pos Telanok, Cameron Highlands.
 
Program ini bertujuan untuk menyantuni masyarakat Orang Asli setempat serta menyampaikan mesej keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan komuniti Orang Asli. Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli Pahang (PePIMA) melalui Persatuan Qiadah Petama Pahang (PQPP) sebagai rakan strategik di peringkat akar umbi.
 
Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, diawali dengan ucapan aluan oleh YB Senator Shahrol Wizan Bin Sulong, Ahli Dewan Negara serta Yang Beradat Tok Batin Zairum selaku Ketua Kampung.
 
YB Dato’ Dr. Ramli menyatakan pertanggungjawaban penuh beliau terhadap hasrat orang kampung yang ingin mendapatkan beberapa kemudahan asas termasuklah jaringan internet, laluan denai dan jambatan yang perlu ditambah baik serta kemudahan dewan aktiviti orang kampung.
 
Selari dengan inisiatif Kampung Angkat Madani yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan kepada Pusat Hubungan Komuniti selaku sekretariat utama yang telah diwakili oleh En Yusmin bin Jaffar dan Pn Rozana Sahadan, sedikit perbincangan lanjut telah diadakan bersama YB Dato’ Dr. Ramli dan YB Senator Shahrol Wizan. Hasil perbincangan tersebut, satu mesyuarat khas dan kunjung hormat akan dilaksanakan dalam masa terdekat ke Parlimen bagi menyatukan semua pihak yang terlibat dan memastikan projek Kampung Angkat Madani tersebut berjaya disempurnakan.
Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link