Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jonetsu Company Inc., sebuah syarikat agrikultur berimpak sosial terkemuka dari Jepun. Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Encik Yoshikazu Miki, bersama Ketua Perancangan Korporat, Encik Tomonori Wakisaka.
Lawatan ini menjadi platform pertukaran ilmu dua hala yang memperincikan sistem penanaman di ladang-ladang Jepun serta cabaran yang dihadapi para peladang, khususnya dari aspek kos operasi dan pemasaran hasil tani. Pihak Jonetsu turut berkongsi pengalaman mereka dalam menguruskan ladang pintar berskala besar di Tokushima dan Himeji, yang memanfaatkan teknologi Internet of Things (IoT) dalam pemetaan tanaman dan kawalan input secara cekap.
Dalam sesi perkongsian tersebut, para delegasi menyatakan rasa kagum terhadap inisiatif Kerajaan Malaysia, khususnya melalui peranan agensi TERAJU dan usaha berterusan UMPSA dalam membantu komuniti petani, terutamanya golongan B40. Usaha tersebut bukan sahaja melibatkan sokongan modal, malah turut merangkumi penganjuran kursus teknikal serta penubuhan koperasi bagi menjamin kelangsungan dan daya saing pendapatan petani.
Jonetsu Company Inc., yang ditubuhkan pada 2 April 2014 di Anan, Tokushima, menguruskan sekitar 20 hektar ladang pintar di Tokushima dan 15 hektar di Himeji. Di bawah pimpinan Encik Yoshikazu Miki, syarikat ini mengusahakan tanaman sayur-sayuran, padi rendah racun, buah sitrus rumah hijau serta bunga hiasan. Menariknya, Jonetsu turut mempelopori model “pertanian × kebajikan” menerusi entiti Team Jonetsu yang menggaji warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pelbagai tugasan seperti kerja ladang, pembungkusan, dan perkhidmatan kontrak.
Pendekatan inklusif ini membolehkan Jonetsu menjadikan sektor pertanian sebagai infrastruktur sosial yang mampu menangani isu pekerjaan luar bandar. Nilai tambah syarikat ini turut diperkukuh melalui penghasilan produk berjenama sendiri seperti jus sitrus dan sos sayuran, pembangunan ladang komuniti “ikigai”, penyelidikan kompos daripada sisa makanan serta kerjasama strategik bersama institusi akademik.
Dengan lebih 100 kakitangan, syarikat ini telah mencapai pengiktirafan tinggi apabila dinobatkan sebagai penerima Noufuku Award Grand Prix 2024 – anugerah berprestij di Jepun yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam agrikultur berimpak sosial. Pengiktirafan ini turut membuka laluan kepada pengembangan syarikat ke pasaran premium domestik dan serantau, termasuk rantau ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang.
Lawatan ini menandakan satu langkah awal ke arah kemungkinan kerjasama antara UMPSA dan Jonetsu dalam membangunkan model agrikultur lestari yang menyepadukan inovasi teknologi, tanggungjawab sosial dan kesejahteraan komuniti luar bandar.