ICoN's  Official Website    

Latest News

 KUTIP PAHANG BAKAL MERANCAKKAN PERTUMBUHAN PERTANIAN BERASASKAN TEKNOLOGI DI PAHANG

KUTIP PAHANG BAKAL MERANCAKKAN PERTUMBUHAN PERTANIAN BERASASKAN TEKNOLOGI DI PAHANG

7 JUN 2024 - UMPSA PEKAN

Koperasi Usahawan Tani IOT Pahang Berhad (KUTIP Pahang) telah menyelesaikan permohonan pendaftarannya dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Kunjungan hormat ke SKM Negeri Pahang dijadualkan pada 24 Jun untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penubuhan dan pengurusan koperasi. Sesi tersebut akan dihadiri oleh Encik Hazman Jamhari dan Encik Zakaria Muhd Zuki yang mewakili 43 peserta lain, serta Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dari UMPSA, ketua program projek IoT Based Smart Farming System. Turut hadir adalah dua penyelidik dari UMPSA, Dr. Rusnifaezah Binti Musa dan Ts. Dr. Abdul Nasir Abd Ghaffar. Penubuhan KUTIP Pahang diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan pertumbuhan dan mengukuhkan kelestarian aktiviti pertanian berasaskan teknologi. Usaha ini dijangka memberi impak tinggi terhadap taraf sosioekonomi peserta dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan pertanian di negeri Pahang

LAWATAN TAPAK BAGI PERSEDIAAN AWAL PROGRAM KEMBARA PRIHATIN

LAWATAN TAPAK BAGI PERSEDIAAN AWAL PROGRAM KEMBARA PRIHATIN

28 - 29 MEI 2024 - CAMERON HIGHLAND
 
PJIM bersama Yayasan UMPSA telah mengadakan lawatan tapak sebagai persediaan bagi program Kembara Prihatin pada Julai 2024 akan datang. Lawatan dan perbincangan bersama Guru Besar dilakukan di SK Telanok bagi program kluster pendidikan melibatkan pelajar sekolah rendah. Program kluster pendidikan ini menyasarkan penglibatan seramai 160 orang pelajar sekolah dan warga pendidik SK Telanok selama 2 hari yang padat dengan aktiviti interaktif berbentuk ilmiah seperti Street Science, 1 on 1 coaching yang memberi penekanan kepada aspek STEM dalam pendidikan.
 
Kembara Prihatin juga bakal menyantuni komuniti Orang Asli setempat melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan pemindahan ilmu, teknologi, keusahawanan, kelestarian, pendidikan, di samping bantuan. Turut sama dalam sesi lawatan adalah pegawai JAKOA Daerah Cameron, Encik Faiz. Sebanyak 6 kampung daripada keseluruhan 13 kampung di dalam Pos Telanok dicadangkan sebagai lokasi program iaitu, Kg Susu, Kg Sungai Lun, Kg Abu, Kg Senangkar, Kg Terakit, dan Kg Rening. Taklimat ringkas berkenaan program kepada Batin setiap kampung turut dijalankan dan kesemuanya menyambut dan menerima baik kehadiran UMPSA. Berdasarkan maklumat hasil pertemuan dengan Batin, program yang paling sesuai dilaksanakan di 6 lokasi ini adalah program Profesor Turun Padang yang berbentuk keusahawanan, pemindahan ilmu, kursus pendek komuniti, serta perkongsian/pemindahan teknologi.
 
Kesemua input yang diperolehi akan dibincang dan dimurnikan bagi mencapai solusi terbaik dengan impak yang maksimum kepada komuniti. Lawatan susulan akan dijalankan bagi proses koordinasi program setelah isi utama program Kembara Prihatin dimuktamadkan. Setinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada warga pendidik SK Telanok, JAKOA Daerah Cameron, barisan kepimpinan Orang Asli Pos Telanok, serta komuniti di lokaliti terlibat atas kerjasama dan sambutan mesra yang telah diberikan sepanjang sesi lawatan berlangsung.
KUNJUNGAN HORMAT KE KLK OLEO MALAYSIA

KUNJUNGAN HORMAT KE KLK OLEO MALAYSIA

20 MEI 2024 - KLK OLEO , SELANGOR
 
Pada 20 Mei 2024, delegasi daripada Universiti Malaysia Pahang (UMPSA) dan UMPSA Advanced Education telah mengadakan kunjungan hormat ke KLK Oleo. Kunjungan ini disambut mesra oleh pasukan KLK Oleo yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mr. Siew Fook Ming. KLK Oleo, yang mempunyai loji pengeluaran oleokimia bertaraf dunia, dijangka menjadi rakan kerjasama strategik bagi UMPSA dan UMPSA Advanced Education. Kerjasama ini akan merangkumi pembangunan program latihan staf KLK Oleo, latihan industri sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa untuk pelajar UMPSA, serta program penyelidikan dalam bidang oleokimia dan biojisim.
 
Delegasi UMPSA terdiri daripada Prof. Ir. Dr. Chin Sim Yee, yang merupakan Pengarah Bahagian Hubungan Universiti-Industri, PJIM; Prof. Chm. Dr. Chong Kwok Feng, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan (JP&I); dan Ts. Dr. Abdul Halim Abdul Razik, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses. Sementara itu, UMPSA Advanced Education diwakili oleh Pengurus Bahagian Sumber Manusia dan Korporat. Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak, membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang akademik dan industri, serta meningkatkan kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan modal insan dalam sektor oleokimia.
BENGKEL PEWUJUDAN ENDOWMEN DAN KURSI INDUSTRI UMPSA

BENGKEL PEWUJUDAN ENDOWMEN DAN KURSI INDUSTRI UMPSA

16 MEI 2024 - UMPSA PEKAN
 
Telah diadakan satu Bengkel Pewujudan Endowmen dan Kursi Industri sebagai inisiatif untuk meningkatkan kemampanan kewangan universiti. Bengkel ini telah diketuai oleh Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, (Pengarah Hubungan Universiti-Industri, Pusat Jaringan Industri & Masyarakat) serta wakil dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Puan Shazlini binti Osman (Pengurus Kanan Yayasan Canselor UNITEN) dan Dr. Nur Mazlini binti Razali (Principal Researcher Institute of Sustainable Energy) yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam pengurusan endowmen dan kursi industri.
 
Sesi perkongsian ini bertujuan memberikan panduan praktikal kepada UMPSA dalam usaha mewujudkan endowmen dan kursi industri mereka sendiri. Selain itu, bengkel ini juga akan membincangkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk mendapatkan sokongan kewangan dari industri. Langkah ini adalah selaras dengan Iltizam Enam: Kelestarian Kewangan, yang menekankan strategi mampan untuk meningkatkan kestabilan kewangan universiti. Antara tujuan bengkel ini diadakan juga untuk mempergiatkan penyertaan sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pengajian tinggi melalui perkongsian sumber kewangan. Dengan inisiatif ini, UMPSA berharap dapat memperkukuh hubungan dengan industri, meningkatkan kestabilan kewangan, dan menyokong pembangunan pendidikan tinggi yang lebih berdaya saing.

Subcategories

Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link