21 FEBRUARI 2024 - NEXTGREEN PULP & PAPER SDN BHD PEKAN.
Pengarah Bahagian Hubungan Universiti-Industri, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat Prof. Ir. Dr. Chin Sim Yee mengendalikan lawatan ke Nextgreen Pulp & Paper Sdn Bhd, Pekan. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menerokai bidang kerjasama yang lebih luas antara universiti dan industri, termasuk penyelidikan dan perkhidmatan teknikal bagi menyokong proses pengeluaran kertas dan pulpa dari tandan kosong sawit (Empty Fruit Bunch) yang berkonsepkan lestari.
Syarikat ini juga telah menjadi rakan kerjasama bagi Program ALAM@UMPSA sejak tahun 2023, menunjukkan komitmen mereka terhadap inovasi dan kelestarian alam dalam industri mereka. "Pelan Next Green Paper and Pulp" dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan penilaian berkala untuk memastikan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Ini menandakan langkah positif ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari bagi industri kertas dan pulpa.
24 FEBRUARI 2024 - THE EVERLY HOTEL, KUALA LUMPUR
Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Pahang (UMPSA) dan 14 rakan industri telah berlangsung dengan jayanya di The Everly Hotel, Kuala Lumpur. Majlis yang dimeriahkan lagi dengan Program Syarahan Industri bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri dalam memajukan bidang teknologi. Ucapan pembukaan majlis telah disampaikan oleh Wakil Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi bin Zamli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA. Beliau menekankan pentingnya kolaborasi ini dalam menggalakkan inovasi dan pembangunan teknologi di Malaysia.
Program Syarahan Industri yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hanafiah bin Yussof, Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Robopreneur Sdn. Bhd. Profesor Hanafiah memberikan pandangan yang mendalam mengenai perkembangan terkini dalam industri teknologi, menyentuh pelbagai aspek penting yang berkaitan. Antara syarikat-syarikat yang terlibat termasuk Tigasfera Sdn. Bhd., 3D Gens Sdn. Bhd., Delta Global Automation Sdn. Bhd., dan banyak lagi. Cenderahati turut disampaikan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang ditekankan serta sesi fotografi bersama para peserta, menandakan titik permulaan bagi kerjasama yang lebih erat di masa depan antara UMPSA dan industri-industri terkemuka dalam memacu kemajuan teknologi negara.
Foto oleh Khairu Aidilnishah Rizan
FEBUARI 2024 - BILIK MESYUARAT PJIM, UMPSA
Jawatankuasa Kerja Projek DPUB UMPSA (Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera) bersama rombongan daripada TERAJU merangka langkah-langkah strategik bagi pelaksanaan projek yang bakal merevolusikan industri pertanian masa kini iaitu projek IoT Projek IoT Based Smart Farming System ini dijangka akan membawa impak yang besar terhadap peningkatan hasil pertanian, pengurangan kos, dan peningkatan pendapatan petani. Dengan bantuan teknologi IoT (Internet of Things), para petani akan dapat mengawal secara tepat penggunaan sumber seperti air dan baja, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti ladang.Based Smart Farming System. Wakil-wakil dari TERAJU menegaskan komitmen mereka untuk menyokong projek ini dari segi teknikal, kewangan, dan pengurusan. Mereka turut memberikan pandangan yang berharga untuk menambahbaik dan meningkatkan keberkesanan projek ini dalam jangka masa panjang.
19-20 FEBRUARI 2024 - UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengadakan lawatan penanda aras yang bertujuan untuk meninjau pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) dan Projek Komuniti Tertumpu (Living Lab) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah.
Lawatan 2 hari ini merupakan inisiatif dari PJIM, UMPSA yang ingin mendalami lebih lanjut mengenai program-program tertumpu (Living Lab) serta memahami impak yang dihasilkan terhadap komuniti setempat di Sabah. Antara tinjauan tempat lawatan ialah Bombom Kg Marakau yang giat melakukan ternakan ikan dan juga pembuatan Parang oleh komuniti itu sendiri. Selain itu Kg Penimbawan yang mengusahakan ternakan Ikan Sangkar (Siakap) serta kedai runcit yang diusahakan oleh orang komuniti setempat. Sesi perkongsian perlaksanaan dan pengurusan projek BMT di Sabah yang diuruskan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut dijalankan. Ini memberi peluang kepada ahli projek untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai pelaksanaan program BMT di peringkat tempatan.
Secara keseluruhan, lawatan ini bukan sahaja memberi wawasan kepada para ahli projek mengenai keberkesanan program BMT di peringkat tempatan, tetapi juga memperlihatkan potensi yang ada dalam membantu komuniti-komuniti miskin untuk bangkit dari kemiskinan tegar melalui usaha-usaha pembangunan ekonomi masyarakat.