13 FEBUARI 2024 - BILIK MESYUARAT PJIM, UMPSA
Satu kunjungan hormat oleh syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah berlangsung yang melibatkan sesi perbincangan antara pihak PETRONAS bersama dengan UMPSA. Pihak PETRONAS diwakili oleh seramai 5 orang delegasi yang diketuai oleh Puan Maria Teo (Pengurus Besar Kanan, Rakan Kongsi Sumber Manusia Global, Pelaksanaan Projek & Teknologi, PETRONAS) manakala pihak UMPSA pula diketuai oleh Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah binti Abdul Munaim, Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM). Turut hadir bersama bagi pihak UMPSA, Pengarah bahagian Industri dan Komuniti, PJIM dan Dekan Fakulti.
Antara sesi perbincangan adalah Program BeDigital Bootcamp (BDB). Program BeDigital Bootcamp (BDB) Siri 2 yang dapat membantu usaha Graduate Employability (GE) UMPSA yang bakal dijadualkan pada hujung bulan Februari 2024. Seramai 14 orang siswazah dari UMPSA yang telah berjaya disenarai pendek dan terpilih oleh pihak PETRONAS akan mengikuti program BDB peringkat zon Pantai Timur pada 24 Februari 2024 sehingga 6 Mac 2024 bertempatkan di Kuala Terengganu.
14 FEBUARI 2024 - KELAB REKREASI TENTERA UDARA (KRTU), KUANTAN
Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM) terus mengekalkan usaha mereka dalam mewujudkan kesedaran kesihatan masyarakat dengan mengadakan program "Jom Sihat". Kali ini, fokus diberikan kepada aktiviti bermain golf sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendorong gaya hidup aktif di kalangan warga korporat.
Program tersebut telah dihadiri oleh 13 orang kakitangan PJIM, yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor, Profesor Ts Datin Mimi Sakinah Binti Abdul Munaim, dan Pengurus Kanan Bahagian Komuniti, En Zainuddin Mat Hussin. Turut serta dalam program tersebut adalah Pengarah Pusat Sukan Dan Kebudayaan, En Mohd Aznorizamin Haji Ismail, serta En Abu Sufian Mokhtar, yang bertindak sebagai instruktor dan tenaga pengajar.
Para peserta mendapat peluang untuk beriadah sambil mengasah kemahiran golf mereka di bawah bimbingan pakar-pakar dalam bidang tersebut. Dengan kejayaan program "Jom Sihat" kali ini, PJIM berhasrat untuk terus mengadakan lebih banyak program yang serupa untuk memberikan impak yang positif kepada masyarakat korporat dalam memperjuangkan gaya hidup sihat.
7 FEBUARI 2024 - PUSAT KESIHATAN UMPSA
Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM) telah memulakan satu langkah penting dalam menitikberatkan kesihatan diri iaitu dengan menyertai program Mobile Clinic yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan Universiti Malaya Pahang Al-Sultan Abdullah. Program Mobile Clinic menawarkan slot saringan kesihatan kepada semua staf UMPSA.
2 FEBUARI 2024 - SEKOLAH KEBANGSAAN MAT KILAU, KUANTAN
Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan telah mengadakan program STEM dengan kolaborasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang diselaraskan oleh Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat. PTJ yang terlibat dalam menjayakam program ini terdiri daripada Pusat Bahasa Moden, Pusat Sains Matematik, Pusat TVET Termaju, Pusat Sains Kemanusian, Fakulti Komputeran dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif.
Program ini bertujuan untuk menginspirasi generasi muda dalam ilmu sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) melalui pendekatan praktikal dan berasaskan projek. Satu aspek yang ditekankan dalam program ini adalah kolaborasi antara pelajar, guru, dan profesional dengan memperkenalkan pelajar kepada amalan terkini dalam bidang STEM. Program ini juga bertujuan untuk menyediakan murid untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam masyarakat dan teknologi.