UMPSA ICoN     

Official Website    

UMPSA KUKUHKAN KERJASAMA DENGAN VOLKSWAGEN GROUP MALAYSIA SDN. BHD.

UMPSA KUKUHKAN KERJASAMA DENGAN VOLKSWAGEN GROUP MALAYSIA SDN. BHD.

12 JUN 2024 - UMPSA PEKAN
 
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Volkswagen Group Malaysia Sdn. Bhd., menyaksikan komitmen mereka dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara pendidikan tinggi dan industri automotif. MoA terbaru ini, yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dari industri, termasuk Pengarah Urusan Dr. Susanne Lehmann, Puan Nor Hayati Othman, Pekan Plant Manager, dan Miss Christine Yee, Legal and Compliance Officer, menegaskan komitmen kedua-dua pihak dalam meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, pengembangan modal insan, dan penempatan graduan.
 
Dalam kenyataannya, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Bin Zainuddin, menyatakan kepentingan kerjasama dengan industri dalam memastikan program pendidikan relevan dan memberi peluang praktikal kepada pelajar. Sementara itu, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Susanne Lehmann, memberikan gambaran mengenai kerjasama masa lalu dan peluang masa depan yang ada, menekankan komitmen mereka terhadap perkembangan industri automotif negara. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat yang berkekalan kepada kedua-dua pihak serta menyumbang kepada pembangunan industri automotif negara secara menyeluruh.
PJIM ANJUR SESI PERKONGSIAN ILMU PERMOHONAN GERAN PPRN 2.0 TAHUN 2024

PJIM ANJUR SESI PERKONGSIAN ILMU PERMOHONAN GERAN PPRN 2.0 TAHUN 2024

10 JUN 2024 - BILIK SEMINAR PJIM
 
Pusat Jaringan Industri UMSPA telah mengadakan sesi perkongsian ilmu mengenai permohonan Geran Inisiatif Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) 2.0 bagi tahun 2024. Sesi perkongsian ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara akademi dan industri melalui penyelesaian inovatif. Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal bin Jamlos yang merupakan Profesor dan Felo Penyelidik Utama Pusat Kejuruteraan Automotif sebagai penceramah bagi sesi perkongsian ini. Beliau berkongsi pandangan dan panduan berharga kepada pensyarah UMPSA dalam penyediaan proposal yang kompetitif. Selain membantu pensyarah menyediakan proposal lengkap, sesi ini juga menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam penyelidikan industri. Permohonan PPRN 2.0 dijangka membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik untuk menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi.
LAWATAN TAPAK BAGI PERSEDIAAN AWAL PROGRAM KEMBARA PRIHATIN

LAWATAN TAPAK BAGI PERSEDIAAN AWAL PROGRAM KEMBARA PRIHATIN

28 - 29 MEI 2024 - CAMERON HIGHLAND
 
PJIM bersama Yayasan UMPSA telah mengadakan lawatan tapak sebagai persediaan bagi program Kembara Prihatin pada Julai 2024 akan datang. Lawatan dan perbincangan bersama Guru Besar dilakukan di SK Telanok bagi program kluster pendidikan melibatkan pelajar sekolah rendah. Program kluster pendidikan ini menyasarkan penglibatan seramai 160 orang pelajar sekolah dan warga pendidik SK Telanok selama 2 hari yang padat dengan aktiviti interaktif berbentuk ilmiah seperti Street Science, 1 on 1 coaching yang memberi penekanan kepada aspek STEM dalam pendidikan.
 
Kembara Prihatin juga bakal menyantuni komuniti Orang Asli setempat melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan pemindahan ilmu, teknologi, keusahawanan, kelestarian, pendidikan, di samping bantuan. Turut sama dalam sesi lawatan adalah pegawai JAKOA Daerah Cameron, Encik Faiz. Sebanyak 6 kampung daripada keseluruhan 13 kampung di dalam Pos Telanok dicadangkan sebagai lokasi program iaitu, Kg Susu, Kg Sungai Lun, Kg Abu, Kg Senangkar, Kg Terakit, dan Kg Rening. Taklimat ringkas berkenaan program kepada Batin setiap kampung turut dijalankan dan kesemuanya menyambut dan menerima baik kehadiran UMPSA. Berdasarkan maklumat hasil pertemuan dengan Batin, program yang paling sesuai dilaksanakan di 6 lokasi ini adalah program Profesor Turun Padang yang berbentuk keusahawanan, pemindahan ilmu, kursus pendek komuniti, serta perkongsian/pemindahan teknologi.
 
Kesemua input yang diperolehi akan dibincang dan dimurnikan bagi mencapai solusi terbaik dengan impak yang maksimum kepada komuniti. Lawatan susulan akan dijalankan bagi proses koordinasi program setelah isi utama program Kembara Prihatin dimuktamadkan. Setinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada warga pendidik SK Telanok, JAKOA Daerah Cameron, barisan kepimpinan Orang Asli Pos Telanok, serta komuniti di lokaliti terlibat atas kerjasama dan sambutan mesra yang telah diberikan sepanjang sesi lawatan berlangsung.
 KUTIP PAHANG BAKAL MERANCAKKAN PERTUMBUHAN PERTANIAN BERASASKAN TEKNOLOGI DI PAHANG

KUTIP PAHANG BAKAL MERANCAKKAN PERTUMBUHAN PERTANIAN BERASASKAN TEKNOLOGI DI PAHANG

7 JUN 2024 - UMPSA PEKAN

Koperasi Usahawan Tani IOT Pahang Berhad (KUTIP Pahang) telah menyelesaikan permohonan pendaftarannya dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Kunjungan hormat ke SKM Negeri Pahang dijadualkan pada 24 Jun untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penubuhan dan pengurusan koperasi. Sesi tersebut akan dihadiri oleh Encik Hazman Jamhari dan Encik Zakaria Muhd Zuki yang mewakili 43 peserta lain, serta Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dari UMPSA, ketua program projek IoT Based Smart Farming System. Turut hadir adalah dua penyelidik dari UMPSA, Dr. Rusnifaezah Binti Musa dan Ts. Dr. Abdul Nasir Abd Ghaffar. Penubuhan KUTIP Pahang diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan pertumbuhan dan mengukuhkan kelestarian aktiviti pertanian berasaskan teknologi. Usaha ini dijangka memberi impak tinggi terhadap taraf sosioekonomi peserta dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan pertanian di negeri Pahang

KUNJUNGAN HORMAT KE KLK OLEO MALAYSIA

KUNJUNGAN HORMAT KE KLK OLEO MALAYSIA

20 MEI 2024 - KLK OLEO , SELANGOR
 
Pada 20 Mei 2024, delegasi daripada Universiti Malaysia Pahang (UMPSA) dan UMPSA Advanced Education telah mengadakan kunjungan hormat ke KLK Oleo. Kunjungan ini disambut mesra oleh pasukan KLK Oleo yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mr. Siew Fook Ming. KLK Oleo, yang mempunyai loji pengeluaran oleokimia bertaraf dunia, dijangka menjadi rakan kerjasama strategik bagi UMPSA dan UMPSA Advanced Education. Kerjasama ini akan merangkumi pembangunan program latihan staf KLK Oleo, latihan industri sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa untuk pelajar UMPSA, serta program penyelidikan dalam bidang oleokimia dan biojisim.
 
Delegasi UMPSA terdiri daripada Prof. Ir. Dr. Chin Sim Yee, yang merupakan Pengarah Bahagian Hubungan Universiti-Industri, PJIM; Prof. Chm. Dr. Chong Kwok Feng, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan (JP&I); dan Ts. Dr. Abdul Halim Abdul Razik, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses. Sementara itu, UMPSA Advanced Education diwakili oleh Pengurus Bahagian Sumber Manusia dan Korporat. Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak, membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang akademik dan industri, serta meningkatkan kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan modal insan dalam sektor oleokimia.
Image

— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Chancellery Department
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia
+609-431 5041
icon@ump.edu.my

— Quick Link