ICoN's  Official Website    

PROGRAM KOMUNITI BERSAMA MASYARAKAT KAMPUNG DEMANGREJO
Featured

PROGRAM KOMUNITI BERSAMA MASYARAKAT KAMPUNG DEMANGREJO

6 MAC 2024 - DEMANGREJO,KULON PROGO INDONESIA
 
Satu program Khidmat Komuniti telah dijalankan oleh wakil UMPSA di kampung Demangrejo, Kulon Progo Indonesia. Program perkongsian pengalaman dan ilmu dalam teknologi fertigasi dan Keusahawanan ini telah disampaikan oleh En Yusmin Bin Jaffar, Eksekutif Teknikal Bahagian Komuniti & Pentadbiran, Pusat Jaringan Industri & Masyarakat. Program disertai oleh persatuan wanita, petani bawang merah dan pesawah Kampung Demangrejo. Walaupun wujud perbezaan bahasa antara Malaysia dan Indonesia, perkongsian ini berjaya menarik minat para hadirin yang sedikit sebanyak mendapat suntikan semangat untuk mempelajari ilmu keusahawanan.
 
Selain dari perkongsian berkaitan keusahawanan, program gotong-royong membersihkan masjid dan literasi digital turut dijalankan serentak. Kerja-kerja gotong-royong dibantu oleh pelajar dan staf Universitas Islam Mulia, Yogyakarta serta penduduk kampung. Aktiviti yang dijalankan merangkumi pembersihan ruang solat, menyusun atur bahan bacaan, membasuh telekung serta mengemas ruang penyimpanan telekung dan sejadah.Penganjuran program ini mampu memberikan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat Kampung Demangrejo, bukan sahaja dari segi ekonomi dan kebersihan, tetapi juga dalam memperkasakan komuniti itu sendiri dalam usaha membasmi miskin tegar.
LAWATAN CSR KE GUNUNG BERAPI MERAPI
Featured

LAWATAN CSR KE GUNUNG BERAPI MERAPI

5 MAC 2024 - JOGJAKARTA, INDONESIA
 
Satu lawatan ke kawasan Gunung Berapi Merapi Jogjakarta, Indonesia telah dijalankan bagi melihat kesan letusan gunung berapi tersebut yang telah mengorbankan banyak nyawa pada tahun 2010. Sebagaimana yang telah kita ketahui, di Malaysia kita selalu terlibat dengan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh tetapi kita belum pernah mempunyai pengalaman membantu mangsa letusan Gunung Berapi. Peluang yang diberikan ini telah memberi sedikit sebanyak pengetahuan kepada semua yang terlibat betapa teruknya kemusnahan disebabkan oleh tragedi ini.
 
Ahli rombongan turut dibawa ke rumah yang dijadikan muzium peninggalan kesan letusan gunung merapi yang berlaku pada November 2010 jam 12.15 pagi yang mengorbankan seramai 300 mangsa. Muzium ini adalah sebahagian daripada inisiatif pemilik kawasan tersebut untuk pengunjung melihat sendiri kesan sebenar bila berlakunya letusan gunung berapi. Kerosakan yang dilihat adakah disebabkan oleh debu-debu gunung berapi yang terlalu tinggi suhunya ketika ia meletus. Tragedi ini turut mengorbankan bapa kepada pemilik kawasan ini. Lawatan ini tidak juga menyuntik semangat untuk menghargai dan menjaga keindahan alam sekitar selain memberi fokus kepada pendidikan tentang bencana alam. Peserta lawatan juga turut dapat menikmati keindahan alam di kaki Gunung Merapi ketika matahari terbit.
LAWATAN TAPAK PROJEK KLUSTER PERTANIAN DAN PERNIAGAAN DI KG. LADA JERANTUT
Featured

LAWATAN TAPAK PROJEK KLUSTER PERTANIAN DAN PERNIAGAAN DI KG. LADA JERANTUT

1 MAC 2024 - JERANTUT, PAHANG
 
Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) di Kg Lada, Jerantut melaksanakan sesi lawatan tapak projek untuk memperkenalkan peserta baru serta mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh peserta sedia ada. Lawatan tersebut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk Tokpat Kg Lada, En. Mazlan; Pegawai Lapangan BMT Negeri Pahang, En. Nabil; Pegawai Lapangan BMT Daerah Jerantut, Puan Siti Nur Najihah binti Romizan; dan Pegawai Penyelaras BMT UA, Cik Nurul Hasipah bt Mohd Rofi.
 
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengutip data dan maklumat berkaitan dengan peserta baru yang mengantikan peserta sebelum ini dalam program BMT. Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk melawat tapak projek peserta yang telah berjalan serta mengenal pasti beberapa isu dan permasalahan yang dihadapi oleh peserta sedia ada.
 
Selama lawatan, perbincangan dua hala berlangsung antara peserta baru dan peserta lama dengan tujuan untuk merancang penambahbaikan pada masa akan datang. Peserta baru diberi peluang untuk berinteraksi dengan peserta sedia ada bagi memahami cabaran dan keperluan yang perlu diatasi dalam usaha memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat setempat. Kerjasama di antara pelbagai pihak dan kolaborasi antara peserta serta penganjur program diharapkan dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih baik bagi meningkatkan keberkesanan program BMT dalam membanteras kemiskinan tegar di Kg Lada, Jerantut.
LAWATAN UMPSA KE ECRL SDN BHD DAN MALAYSIA RAIL LINK SDN BHD
Featured

LAWATAN UMPSA KE ECRL SDN BHD DAN MALAYSIA RAIL LINK SDN BHD

1 MAC 2024 - SOLARIS DUTAMAS, KUALA LUMPUR
 
Satu lawatan yang penting telah berlangsung dengan kehadiran delegasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke China Communications Construction Company (ECRL) Sdn Bhd dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd. Kedua-dua syarikat ini telah menjadi rakan kerjasama yang kukuh dengan UMPSA sejak tahun 2017 yang mana terlibat dalam Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur.
 
Tujuan utama lawatan kali ini adalah untuk memperluaskan skop kerjasama antara UMPSA dan syarikat-syarikat tersebut, khususnya dalam bidang penajaan, penempatan latihan industri, dan penempatan pekerjaan bagi pelajar Program Ijazah Dual UMPSA-Beijing Jiaotong Universiti serta Program Tanggungjawab Sosial Korporat. Delegasi UMPSA diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, bersama-sama dengan Prof. Madya Ts. Dr. Ruzaimi Mat Rejab, Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), turut diiringi oleh Ts. Dr. Lee Khai Loon, Timbalan Pengarah PKSA, dan Prof. Madya Dr. Doh Shu Ing, Ketua Program (Pengembangan Ilmu dan Sarjana) Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam.
 
Lawatan ini tidak hanya menjadi titik awal bagi keterlibatan yang lebih erat antara UMPSA dan syarikat-syarikat utama ini, tetapi juga menandakan langkah progresif dalam memperluaskan kerjasama pendidikan dan industri, yang akan memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak dan menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.
SESI PERBINCANGAN KERJASAMA RAKAN STRATEGIK PJIM BERSAMA JPN PAHANG.
Featured

SESI PERBINCANGAN KERJASAMA RAKAN STRATEGIK PJIM BERSAMA JPN PAHANG.

29 FEBRUARI 2024 - JPN, PAHANG
 
Satu sesi perbincangan yang signifikan telah berlangsung di antara wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan wakil Pusat Jaringan Industri & Masyarakat, UMPSA. Sesi perbincangan tersebut dipimpin oleh Prof Datin Ts Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim, Penolong Naib Canselor PJIM UMPSA, dan dihadiri oleh En. Zainuddin bin Mat Husin, Pengarah Bahagian Hubungan Universiti-Komuniti PJIM. Pihak JPN Pahang pula diwakili oleh En Amzan Abd Malek, Pengarah Pendidikan Negeri, bersama dengan Timbalan Pengarah TnHj Mohd Azmi Othman dan En Ahmad Zamri Mohd Isa, serta beberapa pegawai dan penyelaras bidang.
 
Perbincangan meliputi skop perancangan hubungan jangkapanjang antara UMPSA dan JPN Pahang dalam menyokong pembangunan pendidikan negeri Pahang, terutamanya dalam bidang STEM. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai program seperti program sekolah angkat, program faculty@school, jelajah STEM keseluruh negeri Pahang, program Profesor Turun Padang, dan aktiviti-aktiviti berkaitan.
 
Pihak JPN Pahang juga bersetuju untuk menjadikan PJIM sebagai pusat dalam rangka hubungan antara sekolah dan UMPSA. Untuk mengukuhkan lagi hubungan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk merangka dan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU). Perjanjian strategik ini dijangka dapat memacu kemajuan pendidikan di negeri Pahang, khususnya dalam bidang STEM, dan memberi manfaat yang besar kepada pelajar serta komuniti setempat.

Subcategories

Image
Image
Image
— Contact

Center for Industry & Community Linkages
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
(Gambang Campus)
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300, Kuantan Pahang, Malaysia

+609-431 5041
icon@umpsa.edu.my

— Quick Link